ad

Lelaki cari gaduh selepas ditegur merokok sebelah wanita hamil ditahan

18 Sep 2025, 3:01 AM
Lelaki cari gaduh selepas ditegur merokok sebelah wanita hamil ditahan

SHAH ALAM, 18 SEPT: Lelaki yang didakwa merokok berhampiran seorang wanita hamil di sebuah restoran sehingga berlaku pergelutan dengan suami wanita tersebut telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di Seksyen 9 sejurus selepas pulang daripada perjalanan bermotosikal ke Thailand.

“Kami akan membuat permohonan reman,” kata Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memetik laporan The Star.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai mekanik tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati negatif dadah.

Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan berlaku pergelutan selepas seorang lelaki didakwa merokok berhampiran seorang wanita hamil di sebuah restoran.

Menurut Mohd Iqbal, kejadian itu dilaporkan pada 12 September lalu selepas video pergaduhan di Seksyen 13 itu dimuat naik dalam talian.

“Pengadu yang sedang hamil berasa tidak selesa apabila suspek merokok di dalam restoran kerana bimbang tentang kesihatan dirinya dan kandungan.

"Beliau dan suaminya kemudian meminta seorang pekerja menegur suspek supaya berhenti, namun lelaki itu mengabaikan teguran," katanya.

Kata beliau, suami pengadu beberapa kali menasihatkan suspek supaya berhenti namun tidak diendahkan dan suspek kemudian menghembus asap rokok ke arah mereka sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Perokok itu kemudian meninggalkan restoran. Polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," ujarnya.

Mohd Iqbal memberitahu siasatan kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.