ad

Kes serang anak Rafizi: CCTV kurang jelas, sukar kenal pasti suspek - KPN

17 Sep 2025, 8:53 AM
Kes serang anak Rafizi: CCTV kurang jelas, sukar kenal pasti suspek - KPN

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Polis berdepan kesukaran mengenal pasti dua individu disyaki terbabit dalam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kesukaran itu berpunca daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang kurang jelas, walaupun siasatan awal mengesan beberapa pergerakan mencurigakan.

“Kita mengesan pergerakan itu. Kita pun sedia maklum bahawa ada beberapa individu yang kita kenal pasti melalui rakaman, tetapi rakaman CCTV itu nampaknya tidak begitu jelas dan tidak dapat mengenal pasti individu berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai bahan cecair yang disuntik ke tubuh mangsa berusia 12 tahun itu, Mohd Khalid berkata analisis masih dijalankan pihak hospital.

“Cecair bahan kimia yang disuntik itu sedang dianalisis oleh pihak hospital,” katanya.

Pada 25 Ogos lepas, media melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan laporan perubatan kes berkenaan kerana ia masih dalam peringkat siasatan dan rawatan, selain memerlukan masa untuk diselesaikan.

Terdahulu, pada 22 Ogos, Mohd Khalid memaklumkan polis sudah merakam keterangan 19 individu termasuk ahli keluarga Rafizi bagi membantu siasatan berhubung kejadian menimpa kanak-kanak itu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.