Generasi Z (Gen Z) kini dianggap lebih terbuka menerima kepelbagaian berbanding generasi terdahulu.
Mereka tidak melihat kaum, agama atau latar belakang sebagai pemisah, sebaliknya menilai seseorang berdasarkan nilai murni serta sikap yang dipegang.
Tumbuh dalam persekitaran serba digital, kumpulan ini sudah terbiasa berinteraksi dengan pelbagai budaya melalui media sosial, hiburan dan pendidikan.
Pendedahan awal itu menjadikan mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan masyarakat majmuk serta menganggap kepelbagaian sebagai kekuatan, bukan cabaran.
Pensyarah Management and Science University (MSU), Aliff Fadzly Sariff yang tergolong dalam Gen Z berkata pengalaman generasi itu membentuk perspektif berbeza terhadap perpaduan.
“Mereka tidak melihat perbezaan sebagai halangan, sebaliknya menilai nilai dan tingkah laku yang dibawa seseorang.
“Walaupun kaum, budaya berbeza, mereka tetap meraikan dan menghargainya,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Media sosial cetus keterbukaan
Menurut Aliff, media sosial yang sinonim dengan Gen Z berfungsi sebagai jambatan menghubungkan mereka dengan dunia luar.
Platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan X dapat memperkenalkan pelbagai adat, budaya, gaya hidup dan pemikiran baharu tanpa sempadan geografi.
“Apabila mereka menonton kandungan luar negeri atau negara, sama ada hiburan, berita atau perbincangan isu global, ia terus mempengaruhi cara mereka berfikir.
“Mereka cepat hadam, lalu membentuk identiti serta nilai yang lebih terbuka,” jelasnya.
Namun beliau mengingatkan bahawa interaksi digital juga memerlukan literasi agar generasi muda peka dengan adab berkomunikasi di ruang maya.

Belajar dialek eratkan hubungan bangsa
Sementara itu, pelajar MSU dari etnik Kadazan, Sabah berkata, cabaran menyesuaikan diri dengan dialek di Semenanjung akhirnya menjadi jambatan untuk memahami budaya baharu.
“Pada awalnya saya rasa sukar kerana loghat kami di Sabah berbeza, tetapi rakan-rakan dari negeri lain membantu, dan dari situlah saya belajar tentang budaya mereka.
“Kini saya lihat ia peluang untuk mengukuhkan hubungan, lebih memupuk perpaduan antara kami yang berlainan bangsa dan agama,” kata Carmelita Leona Gitom Sario.
Beliau menambah generasi muda semakin memiliki “acceptance mindset” yang menjadikan mereka lebih mudah menerima kepelbagaian.
“Saya nampak pelajar sekarang sangat terbuka, mereka cepat menerima walaupun berbeza latar belakang. Ini menunjukkan generasi kami lebih bersedia untuk hidup dalam masyarakat majmuk,” ujarnya.