ad

SPRM perkasa usaha perangi rasuah guna AI, sistem digital

17 Sep 2025, 3:04 AM
SPRM perkasa usaha perangi rasuah guna AI, sistem digital

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital bagi mempercepatkan siasatan, menutup ruang ketirisan serta meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata jenayah rasuah masa kini tidak lagi hanya berlaku secara tradisional, sebaliknya bergerak pantas melalui transaksi digital termasuk mata wang kripto, akaun luar pesisir dan sistem kewangan maya.

“Di sinilah kecerdasan buatan atau AI tampil sebagai senjata strategik baharu dalam medan pertempuran menentang rasuah, bukan untuk menggantikan manusia tetapi memperkasakan agensi seperti SPRM agar lebih tangkas, proaktif dan efisien,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penggunaan AI membolehkan penyiasat menapis ribuan fail kewangan dalam masa beberapa minit, selain mengesan transaksi luar kebiasaan, membina jaringan pintar antara individu, syarikat dan data kewangan serta menganalisis potensi konflik kepentingan.

“Dengan penggunaan platform seperti ‘Sentinel: Criminal Intelligence Analytics’, tempoh siasatan kini boleh dipendekkan daripada bertahun-tahun kepada hanya beberapa bulan,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata AI juga digunakan sebagai sistem amaran awal yang mampu mengesan gaya hidup mewah luar kebiasaan, menganalisis projek awam berisiko tinggi serta memberi isyarat awal kebarangkalian berlakunya penyelewengan sebelum jenayah rasuah berlaku.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Maklumat (CIO) SPRM berkata selain memperkukuh siasatan, pelbagai sistem digital turut diperkenalkan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan perkhidmatan dan komunikasi dalaman.

Antara sistem berkenaan termasuk pengurusan aduan dan maklumat rasuah secara berpusat, pengurusan barang kes secara digital serta pemantauan prestasi pegawai yang kini dilaksanakan melalui platform khusus.

“Bagi menyelaras maklumat serta komunikasi antara agensi lain khususnya dalam pengurusan risiko rasuah atau pembangunan pelan antirasuah organisasi, SPRM turut menggunakan sistem untuk memudahkan interaksi,” katanya.

Beliau berkata SPRM turut memperkenalkan sistem pemantauan dan pelaporan unit integriti di agensi awam serta pangkalan data khas untuk mengurus aktiviti pencegahan dan pendidikan.

Dalam aspek komunikasi awam, Ahmad Khusairi berkata SPRM turut memperkenalkan avatar maya pegawai yang dikenali sebagai SARA (Saya Antirasuah) di platform TikTok bagi menyampaikan mesej antirasuah secara lebih dekat dengan masyarakat.

Beliau berkata penggunaan AI dalam pengurusan media di SPRM mendapat pengiktirafan apabila meraih beberapa anugerah termasuk Anugerah Emas di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025.

Ahmad Khusairi berkata gabungan AI dan teknologi blockchain membuka ruang kepada ketelusan mutlak dalam sistem perolehan awam, pembayaran projek infrastruktur serta pengagihan subsidi, sekali gus mengurangkan risiko manipulasi dana awam.

“AI bukan menggantikan manusia, tetapi memperkuat mereka yang berjuang menentang rasuah sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat dan dunia terhadap komitmen negara membina pentadbiran yang telus, cekap dan bebas rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam keghairahan memanfaatkan teknologi digital dan AI, SPRM turut mengakui wujudnya risiko keselamatan dan kerahsiaan data yang perlu ditangani secara berhati-hati.

“Bagi mengatasi cabaran ini, SPRM memperkukuh kawalan dengan melaksanakan dasar governans data yang ketat, mekanisme semakan manusia secara berkala serta teknologi sistem perlindungan siber berlapis,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.