ad

Menjadi Ibu

20 Sep 2025, 12:30 AM
Menjadi Ibu

dia termangu lama di depan rak sedikit tersorok, terbelah hati tatkala membelek baju-baju bayi seolah sedang menilik hari esok. kadangkala berkerut, kadangkala tersenyum seraya mengusap perut boyot. kerana ada sesuatu sedang mekar di dalam tubuh – nyawa, anugerah, sejambak amanah yang begitu cekat menumbuh.

aku masih terpegun di sampingnya, menyantun haruman semerbak syurga. kulihat sinar merimbun di mata saat dia menyentuh botol susu, sarung tangan dan stoking kenit yang ukurannya tidak masuk akal. sesekali sentuhan itu menjelma pertanyaan – mampukah aku menjadi lambang cahaya penyuluh, kehangatan dan kelembutan?

acap kali dia berpaling untuk bertanya; "ini cantik kan?", aku semakin faham kolam matanya. di permukaan dia sekadar minta pendapat, namun di dasar dia minta aku sentiasa dekat. maka dengan segala kudrat dan naluri aku mengangguk sembari menghayati senyumannya, cukup untuk menjadikan dunia ini terasa lebih selamat.

aku kata; "ambil saja, jangan risaukan harga." kerana semua label yang terpampang, bagiku setiap satunya adalah simbol. simbol bahagianya, simbol keberaniannya, simbol kerinduan terhadap seseorang yang bakal berumah di payudara. dan di atas segalanya, kerana dia sedang melahirkan cinta sebelum melahirkan anakku.

ketika aku pulang membawa beg-beg plastik kecil dan beban emosi sebesar dunia, kulihat setiap langkahnya naik menjadi saksi baru. akan sebuah awal perjalanan abadi di mana jiwa bakal menyulam hari-hari mendatang dengan penuh kasih, sabar menanti keajaiban yang kian hampir dengan sentuh – sebagai seorang ibu.

Jed Stellarose

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.