ad

Lubang Benam terbaharu dikesan di Jalan Gua Musang-Lojing, satu lorong ditutup

16 Sep 2025, 11:10 AM
Lubang Benam terbaharu dikesan di Jalan Gua Musang-Lojing, satu lorong ditutup

GUA MUSANG, 16 SEPT: Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 78 di sini ditutup selorong susulan insiden lubang benam terbaharu yang dikesan pada 12 September lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata lubang benam sedalam 0.1 meter dan 15 meter panjang itu berlaku berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke.

“Jalan Gua Musang-Lojing yang mempunyai empat lorong kini ditutup selorong di kedua-dua arah kepada semua kenderaan,” katanya hari ini.

Nik Soh berkata kejadian lubang benam itu dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah serta di tepi pembetung di kawasan berkenaan, selain hujan lebat berterusan yang meningkatkan risiko mendapan.

Beliau berkata JKR sentiasa memantau kawasan berkenaan dan telah melaksanakan pelan pengurusan trafik bagi memastikan keselamatan pengguna.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo menasihatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan bagi mengelakkan kemalangan.

Sejak tahun lalu, terdapat lima kejadian lubang benam berlaku di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing dengan insiden pertama dan kedua masing-masing dikesan pada 23 November serta 12 Disember 2024.

Ini diikuti tiga lagi kejadian pada tahun ini, iaitu pada 15 Mac, 7 Ogos dan 12 September.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.