KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters China 2025 selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan gandingan Indonesia Muhammad Rian Ardianto-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan hari ini.
Pasangan nombor tiga dunia itu mengambil masa 43 minit untuk mencatatkan kemenangan 12-21, 21-11, 22-20 dalam perlawanan pusingan pertama yang mendebarkan di Shenzhen Arena.
Pasangan Malaysia itu yang mempamerkan ketenangan luar biasa dalam set penentuan akan berdepan sama ada beregu Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan atau pasangan Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh bagi merebut tempat ke suku akhir.
Bagaimanapun, perjalanan satu lagi beregu lelaki negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong berakhir apabila tewas 12-21, 21-18, 12-21 kepada pasangan Taiwan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Dalam acara beregu campuran, pasangan negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menewaskan rakan senegara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-17, 21-12 untuk menempah pertemuan pusingan kedua menentang beregu Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan.