KINABATANGAN, 15 SEPT: Seorang pesakit strok maut selepas ambulans dinaiki bertembung dengan sebuah van berhampiran Jalan Kampung Paris 1, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt D Ravi berkata kemalangan kira-kira 9.40 pagi itu turut menyebabkan 11 individu cedera terdiri daripada pemandu ambulans, pemandu kedua, seorang doktor serta seorang jururawat berada dalam ambulans selain tujuh individu menaiki van berkenaan.
Beliau berkata kesemua yang cedera kini dirawat di zon hijau Hospital Kinabatangan.
"Kejadian berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Hospital Lahad Datu ke Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu.
"Ketika melalui jalan berselekoh, sebuah van memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan ambulans,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pesakit itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- BERNAMA