ad

SPRM bongkar pasangan pegawai penguat kuasa buka kedai emas hasil rasuah

13 Sep 2025, 8:35 AM
SPRM bongkar pasangan pegawai penguat kuasa buka kedai emas hasil rasuah

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan suami isteri yang juga pegawai penguat kuasa membuka sebuah kedai emas disyaki hasil rasuah.

Pasangan berusia lingkungan 40-an itu dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing yang tidak memiliki dokumen lengkap ke negara ini tanpa mematuhi undang-undang sejak empat tahun lalu.

Menerusi laman Tiktok rasmi SPRM, agensi itu mendedahkan hasil siasatan mendapati pasangan terbabit menggunakan nama anak mereka dan adik wanita berkenaan sebagai proksi bagi membuka kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.

Pasangan terbabit yang ditahan menerusi Op Dygo itu direman lima hari sehingga esok setelah Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka membenarkan permohonan reman SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata suspek berkenaan terlibat dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja mereka yang tidak memiliki permit kerja.

Beliau berkata menerusi program itu, majikan perlu menghantar fail pekerja warga asing mereka untuk dibuat semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.

“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan yang mempunyai fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan semua dokumen sudah lengkap sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).

“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata bayaran rasuah itu diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail dan suspek menerima RM150 bagi setiap warga asing.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika serbuan, kedai barangan kemas di Pahang itu mempunyai simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai harga semasa kira-kira RM1.4 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.