SHAH ALAM, 15 SEPT: Fenomena kepala air sering menjadi igauan di kawasan rekreasi air terjun dan sungai berbukit apabila hujan lebat di hulu menyebabkan limpahan arus deras yang tiba-tiba, sekali gus mampu mengorbankan nyawa dalam sekelip mata.
Walaupun kejadian sebegini jarang berlaku, kesannya sangat besar dan sering meninggalkan trauma kepada keluarga mangsa serta komuniti setempat.
Punca kejadian kepala air
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kepala air biasanya berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai yang tidak disedari pengunjung di bahagian hilir.

Apabila air dari puncak bukit turun secara mendadak, ia menghimpunkan aliran deras yang membawa bersama lumpur, kayu balak, batu besar dan sisa lain.
Arus luar biasa ini kemudian meluncur ke kawasan bawah dengan kelajuan tinggi, menyebabkan paras air sungai naik mendadak. Fenomena tersebut boleh berlaku dalam masa beberapa minit tanpa memberi peluang kepada mangsa untuk menyelamatkan diri.
Tanda awal kepala air
Kepala air boleh dikesan lebih awal jika pengunjung peka terhadap perubahan sekeliling.
Antara tanda utama yang dikenal pasti termasuk perubahan mendadak warna air daripada jernih kepada keruh, kehadiran buih putih atau serpihan kayu dan daun yang hanyut dalam jumlah banyak, selain bunyi deruan air kuat dari arah hulu.
Sekiranya fenomena ini berlaku, ia menandakan kepala air sedang bergerak turun, dan langkah segera meninggalkan kawasan perlu diambil bagi mengelak tragedi.

Tip keselamatan berdepan kepala air
JBPM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti rekreasi di sungai dan air terjun. Antara panduan yang boleh diikuti ialah:
Elakkan beriadah di kawasan sungai ketika hujan atau cuaca mendung.
Tinggalkan kawasan rekreasi segera jika paras air meningkat, bertukar keruh atau bunyi arus tiba-tiba bertambah kuat.
Jangan mandi atau berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai kerana ia mudah terhakis.
Sentiasa awasi kanak-kanak serta elakkan aktiviti mandi seorang diri.
Hubungi talian kecemasan 999 jika berlaku sebarang insiden atau tanda bahaya.
Langkah-langkah ini penting kerana ramai mangsa sebelum ini tidak sempat melarikan diri akibat aliran deras yang turun secara mendadak.
Kronologi kes kepala air
Sepanjang beberapa tahun kebelakangan, beberapa insiden tragis mengaitkan kepala air telah dilaporkan di seluruh negara:
18 Ogos 2021 – Gunung Jerai, Kedah: enam maut, lebih 1,000 rumah di Yan dan Tupah terjejas selepas fenomena kepala air melanda kawasan itu.
4 Julai 2022 – Baling, Kedah: tiga penduduk termasuk seorang wanita hamil maut selepas arus deras membawa lumpur dan kayu balak melanda kawasan kediaman.
21 Jun 2023 – Air Terjun Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor: dua wanita warga China ditemui lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika mandi-manda.
1 Julai 2023 – Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu: 10 pengungjung termasuk sembilan daripada satu keluarga lemas selepas paras air naik mendadak, menjadikan tragedi itu antara paling buruk di pantai timur.
7 Februari 2024 – Kampung Poh, Bidor, Perak: seorang ibu bersama tiga anaknya berusia dua hingga tujuh tahun lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Sungai Kenjur. Dua mangsa lain termasuk pengasuh terselamat dalam kejadian itu.

24 Ogos 2024 – Slim River, Perak: seramai 23 pengunjung termasuk dua kakitangan taman rekreasi terperangkap selepas kepala air meruntuhkan jambatan di Risda Eco Park, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan.
12 Mei 2025 – Hulu Langat dan Gombak, Selangor: dua insiden berasingan di Sungai Lepoh dan Alang Sendayu menyaksikan 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap. Semua mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan pasukan bomba.
15 Sept 2025 - Kuala Kubu Baru, Selangor: Kira-kira 400 pengunjung berdepan detik cemas apabila terperangkap susulan kejadian kepala air di tapak perkhemahan Ali River Campsite, Kuala Kubu Baharu. Semua mangsa berjaya diselamatkan pihak bomba.
Kejadian-kejadian ini menjadi peringatan jelas bahawa ancaman kepala air tidak boleh dipandang ringan, malah boleh berlaku di mana-mana lokasi rekreasi.
Kawasan berisiko di Selangor
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti beberapa kawasan rekreasi di Selangor sebagai lokasi berisiko tinggi kepala air dan lemas. Antara hotspot utama di Hulu Selangor ialah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak, yang merekodkan insiden lemas paling tinggi di negeri ini.

Selain itu, terdapat lapan lokasi lain dipantau termasuk Latar Medang, Sungai Inki Kalumpang, River View Sungai Bernam, Sungai Sendat, Sungai Tua (Ulu Yam), Sungai Kedondong, Sungai Cilin (Kuala Kubu Bharu) serta beberapa kawasan sekitar Gombak, Rawang, Bestari Jaya, Sepang, Dengkil dan Batu 18 Hulu Langat.
JBPM Selangor menegaskan pihaknya sentiasa memantau kawasan berisiko dengan menempatkan papan tanda amaran, selain melaksanakan rondaan berkala terutama pada musim hujan.
Kesimpulan
Fenomena kepala air merupakan ancaman alam yang sukar dijangka, namun pengetahuan mengenai tanda awal dan langkah keselamatan boleh menjadi perisai untuk mengelak tragedi.
Kesedaran orang ramai, kawalan pihak berkuasa serta sikap berhati-hati ketika beriadah di kawasan sungai amat penting bagi memastikan setiap percutian tidak bertukar menjadi duka.