Di Malaysia, kepelbagaian bahasa menjadi sebahagian daripada warna kehidupan.
Tidak pelik melihat orang Melayu fasih bertutur Mandarin, manakala orang Cina pula petah berbual dalam lenggok bahasa Melayu.
Namun kisah Chiah Wei Yuan sedikit berbeza. Remaja berusia 14 tahun ini bukan sekadar mahir berbahasa Melayu, malah jatuh hati pada keindahannya.
Dari belajar lahir perjuangan, dari gugup lahir keberanian. Di pentas sajak, puisi dan pidato, langkah kecilnya menjulang bahasa kebangsaan dengan sepenuh cinta.
Segalanya bermula ketika dia berusia 10 tahun semasa menuntut di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Klang.
Hasrat awalnya sekadar mahu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Namun percubaan kecil itu menumbuhkan cinta besar yang membawa langkahnya ke pentas negeri dan kebangsaan.
Pada usia 12 tahun, Wei Yuan atau mesra disapa Danial dinobat juara Pidato Piala Pengarah IPG Kampus Pendidikan Islam.

Tidak lama kemudian, namanya kembali disebut apabila menjuarai Sayembara Puisi Kemerdekaan Majlis Bandaraya Shah Alam.
Sejak itu, Wei Yuan tidak lagi menoleh ke belakang. Lebih 20 pentas telah dijejaki, kebanyakannya berakhir dengan kemenangan.
“Bahasa Melayu ini indah, sarat dengan seni dan budaya. Kalau kita sendiri tidak menghargainya, siapa lagi yang akan mengangkat bahasa kebangsaan kita?” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama itu menjadikan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said sebagai idolanya. Pada awalnya, karya tokoh itu terasa sukar difahami, tetapi semakin dibaca, semakin ia memikat jiwa.
Selain itu, tokoh politik muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi inspirasinya dalam dunia pengucapan awam. Bagi Wei Yuan, ahli parlimen Muar itu simbol keberanian anak muda.
Bimbingan guru
Maka tidak hairanlah cita-citanya kini terarah kepada dunia politik dan perundangan. Baginya, politik adalah kunci kepada sebuah negara yang aman dan adil.
Perjalanan ini tidak ditempuh sendirian. Sejak sekolah rendah lagi, gurunya, Mohd Hafizi, setia membimbing. Namun sokongan terbesar datang daripada ibu bapanya.

“Ketika mula-mula kalah pertandingan, ibu berkata, kekalahan itu hanyalah kemenangan yang tertunda. Jangan takut untuk mencuba lagi,” ceritanya sambil tersenyum.
Anak tunggal ini percaya, kejayaan lahir daripada keyakinan diri. Baginya, pentas hanyalah ‘rumah kedua’. Bila hati selesa, tutur kata pun akan mengalir lancar.
Cintanya terhadap bahasa Melayu bukan hanya terserlah di pentas pertandingan, tetapi juga dalam pelajaran. Hampir setiap tahun, gred A menjadi miliknya.
“Banyak fakta yang saya guna ketika bertanding, saya bawa juga dalam peperiksaan. Ia sangat membantu,” katanya.
Hari ini, kisah Wei Yuan membuktikan bahawa bahasa Melayu bukan milik satu kaum, tetapi semua anak Malaysia.
Bahasa ini menyatukan, merentas batas bangsa dan harus dijunjung bersama.
Dari lidah kecil seorang remaja, lahir suara besar Malaysia. Selagi ada yang mencintai bahasa ini, selagi itu kita kekal merdeka bersama.