SEMPORNA, 14 SEPT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, yang hilang ketika bertugas di Pulau Mataking sejak kelmarin digerakkan tanpa henti meskipun berdepan cabaran laut bergelora.
Hari kedua operasi menyaksikan kawasan pencarian diperluas merangkumi 108 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 15 sektor, dengan penyertaan pelbagai agensi.
Ini termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).
Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani, berkata aset turut dikerahkan termasuk KD SRI JOHOR, bot pemintas serta pesawat EC725 dan CN235 MSA bagi mempertingkat keberkesanan operasi di laut serta udara.
"Keadaan laut berombak setinggi 0.5 hingga 1.0 meter dengan tiupan angin timur tenggara 10 hingga 20 kilometer sejam (km/j) tidak menghalang pasukan penyelamat meneruskan pencarian siang dan malam," katanya lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jenazah Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, yang ditemui semalam sudah diserahkan kepada keluarga dan selamat dikebumikan di Ipoh, Perak tengah malam, semalam.
"Urusan pengebumian dilaksanakan oleh 5 RAMD dan pihak kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota terlibat.
"Kami komited meneruskan pencarian sehingga Muhammad Zulkarnain ditemui dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, dua anggota Kompeni C dari 5 RAMD dilaporkan tidak hadir ketika pemeriksaan rutin kehadiran dilakukan.
Berikutan itu, usaha pencarian segera digerakkan sebelum Muhammad Irfan Haiqal ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan pantai dan anggota itu disahkan meninggal dunia.
Muhammad Zulkarnain pula yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang belum ditemui.