ad

Jabatan Peguam Negara sahkan terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri

14 Sep 2025, 1:46 PM
Jabatan Peguam Negara sahkan terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri
Jabatan Peguam Negara sahkan terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri
Jabatan Peguam Negara sahkan terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan menerima laporan penuh siasatan berhubung sejumlah wang tunai yang disita, dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setiausaha politik beliau Datuk Anuar Mohd Yunus.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan penuh siasatan itu diterima pada 12 September lalu.

“Tindakan pelucuthakan harta kepada Kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai itu telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Jabatan ini menegaskan siasatan dan proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah adalah dua aspek yang berbeza. Sehubungan itu, walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan itu,” menurut kenyataan itu.

Sejumlah wang tunai berkenaan disita SPRM pada 20 Februari lalu.

AGC memaklumkan proses penelitian laporan penuh siasatan itu akan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keterangan dan elemen pembuktian kes sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat.

Menurut kenyataan itu, sebarang keputusan kes akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan itu selesai.

“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bebas, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Pada 9 September, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita SPRM dan dipercayai milik Ismail Sabri kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta telah dimasukkan ke akaun kerajaan.

Azam berkata perkara itu susulan keputusan responden iaitu Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.