ad

Bagaimana Lutut Menemukan Siku Lalu Mentertawakan Tapak Tangan

14 Sep 2025, 3:23 AM
Bagaimana Lutut Menemukan Siku Lalu Mentertawakan Tapak Tangan

Oleh Lokman Hakim

Beginilah. Lutut mencongak waktu kamu di tempat kerja. 13 jam sehari. Tiada cuti hujung minggu untuk rambutmu apatah lagi otakmu. Berderet kerja untuk setiap rongga peluhmu dari minggu ke minggu. Kamu rasa hak kamu diperkotak-katik. Tapi bilakah waktunya kamu dapat membuat semakan ke atas hak siku kamu? Balik kerja sahaja kamu terbongkang di katil, mindamu tidak mandi, perutmu tidak sempat makan malam bahkan kujur tubuhmu tidak bersembahyang. Penat tidak terkira. Bangun-bangun sahaja, subuh hampir menjelma. Tapak kaki kamu bergegas mandi sebelum terdengar ayam berkokok. Kamu melintasi masjid dan dengar kuliah subuh sekilas lalu. Adalah juga sedetik itu kamu berimpi sejasad anggota tubuh kamu sertai jemaah dan bersolat di masjid itu tetapi waktu kerjamu menghalangmu berbuat begitu. Tempat kerja letaknya 40 minit perjalanan dan leher kamu harus buat imbasan muka sebelum atau tepat pukul 7 pagi.

Kamu fikir muka tapak tanganmu pucat. Zat kurang. Tidak bersenam. Tidak ada nurani keluargamu sudah. Hidup bebola matamu diabdikan pada kerja kerana intipati hati kamu sudah terbasuh fikiran betapa keberkatan itu penting dalam mencari rezeki. Kamu cuba solat tepat pada waktu tetapi kesibukan kerjamu itu terlalu mengheret lutut dan sikumu ke meja kerja meraba malam di bawah meja dan secalit daki pada lantai pejabat. Qada, qada, qada, lupa, lupa, lupa. Maka haruskah berkat jadi matlamat tika keringatmu kering dihirup pendingin hawa yang menyejukbeku kemanusiaanmu? Kepul-kepul asap rokok sering membentang karpet debu untuk kakimu lepak di kaki lima kedai depan ofis. Tapi bibirmu enggan menuntun sepuntung rokok apatah lagi sekotak.

Di fikiranmu, gulung-gulung duit luruh ke dalam kocek, tembus ke lantai aspal menjadi debu. Setiap inci kulit kakimu cuba mencium harum debu itu. Kamu gagal. Tubuhmu, setiap anggotanya gagal memberikanmu nikmat memiliki sejumlah kebebasan dalam bentuk wang ringgit. Namun tapak tanganmu menadah doa sekaligus memanjatkan harapan yang merayap ke kulit. Ia meresap ke kalbu. Ia mengingatkan betapa bahagia tidak dibina atas nama wang ringgit. Kamu mula berpada-pada dengan kemahuanmu. Mensyukuri apa yang ada tanpa merenungi apa yang tiada.

Kamu redha dengan apa yang berlaku ke atasmu. Tiada lagi sebarang usaha dititipkan untuk mengubah apa yang sedia ada. Hidupmu terpenjara, mujur tidur masih sudi merehatkan waktunya untukmu. Namun, dalam redha, setiap inci kulitmu memberitahu “Kami sudah berusia!” Cengkung matamu memberitahu “Aku mahu jatuh menjadi epilepsi.” Darah menjadi kencing. Gelisah menjadi kantuk, jagamu menjadi mata yang terkelat-kelat gagal memeluk tidur berlama-lama. Dalam mimpimu yang sebentar-bentar sifatnya itu, setiap helai rambutmu menjadi padang rumput yang menguning lalu luruh meninggalkan gurun tanpa angin.

Makanya kamu gagahkan dalam sela tahajud senja dinihari – merencana jalan keluar dari penjara itu. Wajah demi wajah mereka di tempat kerja yang dipagut usia mendatangi benakmu – kamu enggan menjadi mereka. Kamu tatal setiap tawaran kerja di laman sesawang atau mana-mana sahaja – khuatir menggerogot jari-jemarimu. Perusahaan jatuh dan bangun bagai rintik hujan di waktu kemarau – gugurnya pantas, sejatnya cepat. Bagaimana, tanyamu pada setiap anggota tubuhmu – cara-cara untuk bebas menentukan waktu tanpa diladeni desakan mencari wang untuk mengisi keperluan zahirmu? Otakmu, kaki dan tanganmu, setiap urat pada tubuhmu mula ketawa lalu serentak mendendangkan bak koir “Usah berangan panjang oh tuan. Hiduplah seadanya oh tuan. Qada dan qadar itu bukan di tanganmu oh tuan. Jatuh dan bangunmu kami sentiasa bersamamu oh tuan.”

Tawa mereka lantang hingga melesukan. Kudratmu menipis, dahimu menggelegak. Bara merayap ke kulit meninggalkan pinar pandangan. Terhuyung-hayang, lekas-lekas punggungmu mencari rehat. Otot-ototmu sengal minta dibaringkan. Engkau memikir mengapa kesatuan tubuhmu sudah bercerai-berai persis kesatuan pekerja yang tidak mampu membendung penindasan. Engkau gagahkan kaki agar mengorak langkah ke klinik 24 jam yang tidur pada subuhnya. Kamu hidupkan enjin kendera yang sudah bertahun tidak dibayar insurans dan bayaran bulanan dengan harapan minyaknya mencukupi membawamu ke klinik.

Engkau tunggu kedatangan doktor syif pagi yang mana syif malam sudah tersandar lelah menjadi empuk kerusinya di bilik. Dingin, ringkukmu bak bayi dalam kandungan. Engkau perhati sekeliling, tiada orang datang pada waktu-waktu begini. Lutut menemukan siku lalu mentertawakan tapak tangan. Tapak tanganmu meraup mukamu menahan sebak. Sakitmu menjalar ke dada kiri, lenganmu serasa kebas.

Kamu teringat ibumu yang jauh ditinggalkan di kampung. Jika waktu mampu diundur engkau mahu balik ke pangkuan ibumu lalu berbaring di ribanya. Melepas kantuk menguasai semesta jasadmu. Ringkukmu kian bulat, tubuhmu bergulung membentuk bola. Di kerusi klinik 24 jam yang baru mahu bangun pagi itu, sebola manusia pikun sebelum jatuh melantun tiga kali sebelum tergolek ke kaki kaunter yang jururawatnya sedang ralit menatal telefon bimbit menghitung waktu balik kerja. Dan hal kejadian yang menimpamu tidak lagi satu keterasingan. Ribuan manusia bola terbentuk pada subuh itu, barangkali jutaan pada sebelah tengaharinya dan baki selebihnya, mungkin, terbentuk pada malam yang menjelang.

Azan subuh berkumandang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.