SHAH ALAM, 14 SEPT: Langkah Kerajaan Negeri memanfaatkan rangkaian dan kepakaran diaspora jurutera Malaysia yang berjaya di luar negara mula menampakkan hasil, dengan pelancaran Taman Reka Bentuk Semikonduktor pertama di Puchong, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han dalam wawancara bersama Malaysiakini disiarkan hari ini.
Inisiatif itu digerakkan selepas pertemuan sempena Thaipusam pada Januari lalu yang menghimpunkan Ng, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, serta Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec), Yong Kai Ping.
Mereka bertemu Lai Pin Yong, antara perintis awal industri semikonduktor Malaysia yang pernah memegang jawatan kanan di Intel dan Motorola. Dalam pertemuan tersebut, Lai menyeru agar Selangor tidak lagi hanya menumpukan aspek pemasangan (backend), sebaliknya memacu pertumbuhan dalam bidang reka bentuk cip yang berimpak tinggi.
Tujuh bulan selepas itu, Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) pertama Malaysia dilancarkan di Puchong. Kemudahan kedua dirancang di Cyberjaya. Ia menyediakan insentif seperti sewaan percuma dan akses kepada lesen Electronic Design Automation (EDA) yang amat penting dalam reka bentuk cip.
EDA yang mahal sering menjadi penghalang utama kepada firma pemula. Dengan menyediakan akses ini, Selangor membuka peluang lebih besar kepada syarikat tempatan untuk berkembang.
Antara yang menyambut inisiatif ini ialah Pua Khein Seng, pengasas Phison Electronics. Beliau kembali ke Malaysia dengan menubuhkan anak syarikat baharu, Maistorage, di taman reka bentuk tersebut, setelah usaha awalnya pada 2012 tidak berjaya.
Selain itu, syarikat mikrocip Perancis, Weeroc, turut membuka pejabat di Puchong hasil usaha Ng yang bertemu pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologinya, Salleh Ahmad, di Paris.
Menurut Ng, Salleh sudah menunggu lebih 20 tahun untuk peluang ini.
Pengalaman Salleh melambangkan keperluan untuk mengalihkan fokus daripada naratif "brain drain" kepada "brain circulation", tambah Ng.
"Walaupun mereka tidak pulang secara fizikal, kepakaran dan rangkaian mereka tetap boleh membantu pembangunan negara."
Kini, Selangor turut mendapat bimbingan bekas Naib Presiden Nvidia dan Foxconn, Lai Yit Loong, yang dilantik sebagai penasihat Sidec bersama Nurul Izzah Anwar. Langkah ini dilihat sebagai permulaan ekosistem semikonduktor yang inklusif dan mampan, dipacu oleh visi menjadikan Malaysia pusat inovasi rantau ini.