ad

MPHS raih dua anugerah MyPlace Awards 2025

14 Sep 2025, 1:23 AM
MPHS raih dua anugerah MyPlace Awards 2025
MPHS raih dua anugerah MyPlace Awards 2025
MPHS raih dua anugerah MyPlace Awards 2025

SHAH ALAM, 14 Sept: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih dua pengiktirafan sempena Majlis Malam Penganugerah MIP MyPlace Awards 2025 yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya, pada 12 September lalu.

Anugerah tersebut merupakan inisiatif Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dalam mengiktiraf pencapaian organsasi dan komuniti bagi penambahbaikan ruang awam yang membawa kesan dan manfaat positif kepada komuniti setempat.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan dengan kehadiran tetamu kehormat, Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bersama barisan kepimpinan tertinggi MIP. MPHS diwakili oleh Timbalan Yang Dipertua, Puan Dewi Dirwana binti Munasir, bersama-sama pengarah dan pegawai kanan MPHS.

Dalam majlis itu, MPHS menerima Sapphire Award bagi inisiatif Laman Hijau x Geran Khas Komuniti Mampan, serta Emerald Award melalui projek Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu @ Ruang Hijau Komuniti Hulu Selangor.

MPHS dalam hantaran di Facebook menyatakan pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan MPHS dalam melaksanakan agenda pembangunan mampan yang berteraskan komuniti.

Tambah MPHS lagi, usaha ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Dasar Perbandaran Negara dengan memberi penekanan kepada perbandaran yang hijau, inklusif dan berdaya huni.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.