SHAH ALAM, 13 SEPT: Indeks Kebahagiaan rakyat Selangor pada 2024 yang direkod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berada pada tahap bahagia iaitu skor 7.21.
Jabatan itu menerusi laporan penuh memaklumkan berdasarkan penilaian 13 komponen, 12 daripadanya berada tahap bahagia dan sangat bahagia sementara satu komponen tahap sederhana bahagia.
Menurut laporan itu, komponen yang berada pada tahap sangat bahagia ialah keluarga serta keagamaan dan kerohanian masing-masing dengan skor 8.53 sementara kebudayaan dengan skor 5.06.
"Semua sembilan daerah di Selangor juga berada pada tahap bahagia yang mana lima pentadbiran mencatat skor tertinggi di Sabak Bernam (7.42), Klang (7.39), Gombak (7.38), Hulu Selangor (7.28) dan Petaling (7.27).
"Skor kebahagiaan di kawasan bandar dan luar bandar juga merekodkan tahap bahagia dengan masing-masing 7.26 dan 6.72. Begitu juga dengan jantina merekodkan skor bahagia iaitu perempuan 7.25 manakala lelaki 7.18," menurut laporan itu.
Selain itu, kumpulan umur berada pada tahap bahagia adalah remaja berusia dari 15 hingga 19 tahun dengan skor 7.41 diikuti umur 55 hingga 59 tahun (7.34), namun kumpulan 65 tahun dan lebih catat skor terendah 7.04.
Sebelum ini, DOSM memaklumkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 mencatat skor 7.60 iaitu kategori bahagia.
Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 merupakan survei kali kedua dilaksanakan DOSM untuk mengukur tahap kebahagiaan di Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Survei itu dilaksanakan bermula Oktober hingga Disember tahun lalu yang meliputi tempat kediaman persendirian dan penemuan utama dipaparkan mengikut komponen, jantina, kumpulan umur dan strata.
Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) ini menggunakan nilai skor bagi mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia iaitu dari nilai 0.00 hingga 10.00.
Kategori sangat tidak bahagia pada skor 0.00 hingga 2.00 manakala tidak bahagia (2.01-4.00); sederhana bahagia (4.01-6.00); bahagia (6.01-8.00) dan sangat bahagia (8.01 hingga 10.00).