ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh lapisan rakyat supaya sentiasa menghargai nikmat keamanan serta perpaduan yang dikecapi di negara ini selama ini.
Beliau berkata Malaysia masih jauh lebih aman berbanding banyak negara lain dan pelbagai krisis, termasuk peperangan, rusuhan rakyat, malah keganasan bersenjata yang sedang berlaku di luar negara perlu dijadikan sebagai iktibar oleh rakyat negara ini.
“Kita bersyukur betul, alhamdulillah. Kalau dibandingkan dengan banyak negara lain, Malaysia jauh lebih aman. Rusuhan berlaku di mana-mana,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Merujuk kepada situasi di Palestin, Ukraine dan insiden penembakan di Utah, Amerika Syarikat yang berlaku dua hari lalu, beliau berkata insiden itu merupakan contoh bahawa dunia ini sedang bergolak.
“Dunia sekarang kucar-kacir, peperangan di Palestin, Ukraine, penembakan di Utah. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita dapat terus kekalkan keamanan dan perpaduan yang kita miliki,” kata beliau.
Sementara itu Anwar berkata agensi dan jabatan agama Islam perlu tampil sebagai pencetus serta penggerak utama dalam pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih hebat, namun berlandaskan nilai Islam dan akhlak mulia.
Beliau berkata usaha itu termasuk melaksanakan transformasi ke arah digitalisasi dan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
“Saya minta supaya semua dasar negara, termasuk program pembangunan desa hingga ke bidang digital dan AI, perlu mengambil input daripada sudut pandangan Islam,” katanya.
- BERNAMA