ad

Op PUU: Sebanyak 11,984 notis amaran dikeluarkan setakat ini

13 Sep 2025, 2:07 AM
Op PUU: Sebanyak 11,984 notis amaran dikeluarkan setakat ini

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Sebanyak 11,984 notis amaran dikeluarkan oleh Polis Kuala Lumpur sepanjang fasa advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) terhadap pengguna jalan raya sejak 6 Sept lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata operasi itu memberi penekanan terhadap kesalahan-kesalahan kecil peraturan jalan raya yang sering dilakukan oleh orang ramai.

“Pematuhan undang-undang kecil ini penting kerana ia mencerminkan etika dan disiplin masyarakat selain peraturan itu digubal untuk kebaikan bersama.

“Saya akan meneruskan fasa advokasi sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak, sebelum tindakan saman serta-merta dikenakan terhadap mana-mana pesalah lalu lintas di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media sempena OP PUU di sini malam tadi.

Beliau berkata antara kesalahan yang menjadi tumpuan utama termasuk pejalan kaki tidak menggunakan jejantas atau lintasan belang, gagal mematuhi isyarat lalu lintas, dan menyebabkan halangan lalu lintas.

Beliau berkata turut menjadi fokus kesalahan pemandu berhenti melepasi garisan putih di persimpangan lampu isyarat dan penunggang motosikal tidak memakai topi keledar serta menggunakan ekzos diubah suai.

"Kawasan operasi ketika ini melibatkan kawasan tumpuan dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, namun akan diperluas ke kawasan IPD lain di Kuala Lumpur selepas ini.

“Polis Kuala Lumpur menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan dan menyeru orang ramai memberi kerjasama penuh demi kelancaran lalu lintas serta keselamatan bersama,” katanya.

Beliau berkata selain melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, operasi itu turut dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar.

Dalam operasi yang disertai beliau di sekitar kawasan Bukit Bintang malam tadi, Fadil turut berkesempatan menyampaikan nasihat kepada beberapa pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.