KAJANG, 13 SEPT: Penduduk Taman Mega, Cheras terus melahirkan kebimbangan meskipun Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah menjalankan operasi menangkap anjing liar susulan serangan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun pada 4 September lalu.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut, manakala rakaman insiden berdurasi 10 saat yang tular di media sosial meningkatkan keresahan komuniti setempat.
Seorang penduduk, Arjuna Misra, 65, berkata kejadian tersebut meningkatkan keresahan penduduk, khususnya ibu bapa yang kini takut membiarkan cucu mereka bermain di taman.
“Anjing liar sudah beberapa bulan bebas berkeliaran, tetapi ini kali pertama berlaku insiden seteruk ini. Selepas kejadian, semakin banyak anjing dilihat berkeliaran dalam kumpulan pada waktu malam dan ini amat membimbangkan,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Sarifah Abdullah, 57, yang menyaksikan serangan tersebut berkata, insiden itu menambah rasa takut kerana pernah berlaku kes sebelum ini melibatkan seorang lelaki tua dan anak perempuannya.
“Kali ini lebih serius, semua orang bimbang keselamatan diri dan keluarga. Isu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” ujarnya.
Seorang bapa, Amirrul Rusdy Abu Bakar, 38, berkata keselamatan anak-anak kini menjadi keutamaan kerana mereka sering ketakutan untuk berbasikal atau bermain di luar rumah.
“Setiap kali dengar anjing menyalak, anak-anak saya terus lari masuk ke dalam rumah. Saya sendiri bersama beberapa penduduk tangkap anjing yang menggigit kanak-kanak itu dan serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya sambil memaklumkan lima ekor anjing liar sudah berjaya ditangkap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Turut melahirkan kebimbangan, Krisveni Subramaniam, 62, yang mendesak agar anjing tersebut ditangkap segera bagi mengelakkan insiden lebih buruk.
“Kanak-kanak itu hanya bermain basikal, mungkin bunyi basikal mengejutkan anjing. Tapi saya tidak pernah lihat gigitan sebegitu ganas. Kalau dibiarkan, kejadian lebih teruk boleh berlaku,” tegasnya.
Penduduk lain, Wani Arumugam, 46, berkata jumlah anjing liar sedikit berkurangan sejak operasi dijalankan, namun kawanan masih berkumpul pada waktu malam berhampiran restoran dan kedai runcit.
“Kebanyakan anjing ini asalnya haiwan peliharaan yang dibuang. MPKj perlu ambil tindakan serius kerana penduduk tak mahu langkah sementara saja, kami perlukan penyelesaian kekal,” katanya.
Media Selangor sedang mendapatkan reaksi lanjut daripada MPKj berhubung isu ini.