KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Selangor akan terus memperkukuh daya saing negeri melalui pendekatan seluruh kerajaan, seluruh masyarakat (whole government, whole society) yang menekankan penggemblengan sepenuhnya kekuatan negeri, merangkumi peranan kerajaan, institusi serta masyarakat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu memastikan dasar dan inisiatif pembangunan dilaksana secara bersepadu, memberi manfaat langsung serta menjamin kelestarian demi kesejahteraan rakyat.
“Ini adalah pendekatan yang sangat berguna ketika kita berdepan dengan pandemik Covid-19. Bukan saja pendekatan kerajaan tetapi masyarakat secara keseluruhan sebagai kelompok yang menjuarai dan mengetuai hal ini.
“Pada waktu ini, tanggungjawab kita adalah lebih besar. Bagaimana memastikan seluruh masyarakat dan seluruh kerajaan dapat digerakkan dan dapat dirangkulkan,” katanya pada sesi penggulungan Libat Urus Belanjawan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.
Jelas Amirudin, pendekatan itu penting bagi menyeragamkan pelaksanaan dasar di pelbagai peringkat, termasuk pemberian lesen, pengurusan pihak berkuasa tempatan serta pembiayaan pembangunan.
Jelasnya, setiap majlis daerah, perbandaran dan bandar raya mempunyai kapasiti kewangan serta hasil yang berbeza, justeru memerlukan kaedah penyelarasan agar peranan mereka dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Jadi saya rasa pemanfaatan sepenuhnya kekuatan ini sangat perlu dalam pengurusan agar setiap dasar dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.
Amirudin turut menegaskan komitmen untuk terus memperbaiki dasar dan pendekatan Kerajaan Negeri termasuk berani melakukan perubahan walaupun terpaksa berdepan langkah yang sukar dan pahit demi membetulkan keadaan.
“Secara asasnya, negeri ini akan cuba terus memperbaiki, melakukan perubahan terhadap pendekatan-pendekatan kita dan berani untuk mengambil langkah yang agak perit dan pahit demi untuk membetulkan keadaan.
"Dan mengakui pula kalau ada sebarang kesilapan atau diakui perlu dibetulkan kerana hari ini kita hidup dalam masyarakat yang sangat berbeza,” katanya.