SHAH ALAM, 12 SEPT: Mahkamah Majistret Sepang hari ini memerintahkan kes pasangan kekasih berusia 19 tahun yang berdepan pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh penuntut universiti, Maniishapriet Kaur Akhara, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Perintah itu dibuat Majistret Khairatul Animah Jelani selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, lapor Berita Harian.
Tertuduh, M Sri Darvien, penganggur, didakwa membunuh Maniishapriet, 20, di sebuah kondominium di Cyberjaya antara jam 9.11 malam hingga 11.31 malam pada 23 Jun lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dipenjara maksimum 40 tahun serta 12 sebatan.
Teman wanitanya, V D Thineswary, yang juga rakan serumah mangsa, didakwa bersubahat melakukan pembunuhan sama di kondominium itu pada jam 12.30 tengah hari, tarikh sama. Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 yang membawa hukuman setara jika sabit kesalahan.
Terdahulu, media melaporkan Maniishapriet, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berasal dari Sarawak, ditemui mati di kediamannya di Cyberjaya pada jam 10 pagi, 24 Jun lalu.
Beberapa suspek ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian melalui operasi di Johor dan Melaka.