ad

Gali semula mayat, forensik jelaskan kuasa bedah siasat kedua

11 Sep 2025, 2:01 AM
Gali semula mayat, forensik jelaskan kuasa bedah siasat kedua

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir dan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Syamsul Haris Shamsuddin, Julai lalu menggemparkan negara.

Kes tersebut mempunyai persamaan apabila mahkamah mengarahkan jasad yang ditanam pada 17 dan 29 Julai digali semula selepas keluarga meragui punca kematian serta mengesyaki wujud unsur buli.

Mantan pakar perunding kanan forensik dan patologi menyatakan bedah siasat kedua selepas mayat digali boleh mengesan punca kematian secara khusus, termasuk mengetahui jika ada unsur jenayah.

Menerusi proses itu, jelasnya, pegawai perubatan yang mengendalikan tatacara berupaya menilai lebih lanjut keadaan fizikal si mati, sekali gus menggambarkan bagaimana kematian berlaku.

Bayangan detik akhir mangsa

Menurut Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, pegawai berkenaan juga dapat membayangkan situasi dialami si mati sebelum nyawa terhenti, selain mengetahui jika jasad dibunuh atau sebaliknya.

“Contohnya si mati mengalami kaki patah, kita boleh nampak dari luaran tetapi pegawai perubatan yang jalankan bedah siasat akan teliti sepenuhnya. Dia cari punca bagaimana kaki itu patah.

Mantan Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Prof Dr Shahrom Abd Wahid ketika diwawancara dalam Program Bicara Semasa di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 18 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Pegawai juga akan kaitkan dengan kesan lain contohnya geseran dan luka yang ada. Nanti akan lihat pula tapak kasut jika ia terkena hentakan. Semua ini akan diteliti dan dirungkai hingga akhirnya boleh tahu apa yang jadi," katanya kepada Media Selangor.

Tulang simpan bukti berharga

Berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang forensik, beliau menegaskan bedah siasat kedua masih mampu memberikan petunjuk walaupun jasad sudah lama dikebumikan dan hanya tinggal tulang.

Katanya, bukti berkenaan tetap penting biarpun tidak dapat memberikan gambaran sepenuhnya kerana ia akan disokong dengan rantaian keterangan lain sebelum dibawa ke mahkamah.

“Contohnya kesan patah tadi. Bukti akan menunjukkan sama ada mangsa dihentak, mempertahankan diri, atau cedera akibat serangan. Walaupun tisu lembut sudah hilang, tulang simpan bukti berharga.

“Perubatan tidak berdiri sendiri. Bukan hanya bahagian perubatan sahaja yang boleh dapatkan bukti atau punca kejadian berlaku. Jadi, ia akan disokong dapatan polis, saksi-saksi lain,” katanya.

Tepat bergantung kepada kepakaran

Pernah mengendalikan pelbagai kes gali semula termasuk di luar negara, Dr Shahrom menjelaskan bahawa dapatan paling menyeluruh hanya boleh diperoleh pada jasad yang masih baharu.

Bagaimanapun, jasad yang sudah lama dikebumikan tetap mampu memberikan petunjuk sekiranya diperiksa oleh pakar berpengalaman dan berkemahiran tinggi.

“Forensik ini untuk mencari ketepatan tetapi untuk menentukannya bergantung kepada orang yang memeriksa. Kalau dia pandai, tepatlah keputusan. Kalau tidak, tidak tepatlah (keputusan).

“Jawatan, pakar runding atau kerja lama bukan penentuan kepandaian. Ia bergantung kepada pengalaman. Jadi pegawai boleh tahu dengan mudah ketika memeriksa mayat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.