ad

Sebuah lagi kapal Global Sumud Flotilla diserang dron

10 Sep 2025, 8:16 AM
Sebuah lagi kapal Global Sumud Flotilla diserang dron

ISTANBUL, 10 SEPT: Global Sumud Flotilla melaporkan satu lagi serangan dron yang disyaki menyasarkan satu daripada kapalnya pada Selasa ketika konvoi bantuan itu bersiap untuk berlepas dari Tunisia menuju Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Global Sumud Flotilla (GSF) mengesahkan bahawa pada 9 Sept, sebuah lagi kapal dalam armada kami - ‘Alma’ - diserang dron ketika ia berlabuh di perairan Tunisia,” menurut kenyataan itu.

Kapal berdaftar di bawah bendera Britain itu dilaporkan mengalami kerosakan akibat kebakaran di bahagian dek atas.

Flotila itu berkata siasatan sedang dijalankan berhubung insiden berkenaan dan menyifatkan serangan itu sebagai “cubaan terancang untuk mengalih perhatian serta menggagalkan misi,” namun menegaskan ia “tidak akan goyah.”

Aktivis Leila Hegazy yang bertugas ketika pertukaran syif berkata: “Ini adalah serangan dron kedua terhadap satu daripada kapal.”

“Kami berharap ini tidak berulang setiap malam kerana jelas ada pihak cuba melakukan provokasi,” katanya.

Seorang lagi aktivis yang menyaksikan serangan itu secara langsung berkata mereka melihat dron itu “betul-betul di atas, mungkin 20 kaki” sebelum menyebabkan kebakaran.

“Kami bunyikan penggera, menjerit, hos sudah siap, dan api berjaya dipadam dalam masa dua minit,” katanya.

Dalam siaran langsung, seorang aktivis berkata tiada kerosakan struktur ketara selepas pemeriksaan awal dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat.

“Dua malam berturut-turut. Ini bukan kebetulan, bukan kemalangan. Ini ancaman terhadap misi, dan kami mengambilnya dengan sangat serius,” katanya.

Aktivis itu menegaskan serangan ini adalah “taktik ugutan yang jelas” untuk “menakutkan orang daripada menaiki kapal esok.”

“Kami tidak akan gentar,” tambahnya.

Terdahulu pada Selasa, flotila itu melaporkan kapal utamanya, “Family Boat,” turut diserang dron di luar pantai Tunisia.

Global Sumud Flotilla, dinamakan sempena perkataan Arab “sumud” yang bermaksud “keteguhan”, terdiri daripada lebih 50 kapal membawa penumpang dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis. Sekitar 150 aktivis, termasuk rakyat Tunisia, Turkiye serta peserta dari Eropah, Afrika dan Asia menyertai inisiatif itu.

Flotila itu berlayar dari Barcelona pada akhir Ogos bersama satu lagi kumpulan dari Genoa, Itali dan dijadual berlepas dari Tunisia ke Gaza pada Rabu.

Inisiatif ini bertujuan mencabar sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah terbabit.

Badan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong PBB pada 22 Ogos melaporkan bahawa kebuluran telah melanda utara Gaza dan memberi amaran ia boleh merebak selagi sekatan Israel berterusan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.