ad

Polis: Tiada cubaan culik murid sekolah, hanya salah faham

10 Sep 2025, 7:14 AM
Polis: Tiada cubaan culik murid sekolah, hanya salah faham

MELAKA, 10 SEPT: Polis mengesahkan dakwaan cubaan culik seorang murid lelaki di sebuah sekolah di Ayer Keroh di sini yang tular menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp sekolah itu semalam adalah salah faham.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata salah faham itu berlaku kerana pemandu van sekolah yang mengambil mangsa memaklumkan kepada ibu kanak-kanak berusia sembilan tahun itu bahawa anaknya dilihat bersama seorang wanita tidak dikenali di luar kawasan sekolah Isnin lalu.

Beliau berkata situasi itu menimbulkan salah faham dan kebimbangan ibu kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai juruwang dan berusia 28 tahun, sehingga bertindak membuat laporan polis kerana menyangka berlaku cubaan culik ke atas anaknya.

"Bagaimanapun, pada 4.27 petang semalam, pihak polis menerima laporan yang dibuat seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan seorang penjaja selepas beliau melihat notis atau pemakluman dakwaan cubaan culik itu dikaitkan dengan dirinya dalam kumpulan WhatsApp sekolah anaknya.

“Penjaja berkenaan berkata pada waktu kejadian, dia ke sekolah untuk mengambil anaknya berusia 11 tahun yang turut berada di sekolah dan secara tidak sengaja berjalan bersama murid tahun tiga itu semasa keluar dari kawasan sekolah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata wanita yang disangka 'penculik' itu turut memaklumkan sebelum kejadian, dia berjumpa dengan murid berkenaan dan bertanya mengapa berebut pemadam getah dengan anaknya sebelum beredar keluar dari sekolah berkenaan.

Katanya hasil siasatan polis turut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian yang dilaporkan itu dan kedua-dua wanita itu telah hadir ke Balai Polis Ayer Keroh bagi menyelesaikan salah faham tersebut.

Sehubungan itu, Christopher berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang hebahan atau spekulasi berhubung sebarang kejadian tanpa pengesahan pihak berkuasa.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.