KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, melakar sejarah baharu dalam melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia dan meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan itu.
RUU yang akan memberi perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak mereka sebagai sebahagian tenaga kerja penting dalam ekonomi negara itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Dewan Negara.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata cadangan potongan secara automatik caruman bagi pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memperluas perlindungan sosial.
Beliau berkata pindaan itu bertujuan menangani kelemahan akta sedia ada khususnya dari segi kebolehkuatkuasaan dengan memperkenalkan potongan automatik melalui integrasi sistem antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dengan platform.
“Pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing sememangnya diwajibkan mencarum dengan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Melalui peruntukan baharu ini, caruman akan dipotong secara automatik pada kadar 1.25 peratus daripada pendapatan selepas ditolak komisen dan tip.
“Dalam erti kata lain, setiap RM1 hanya dipotong sekitar satu sen. Ini lebih praktikal berbanding kaedah semasa apabila mereka perlu membayar secara lump sum untuk pakej perlindungan kendiri bermula antara RM157.20 hingga RM592.80 setahun,” katanya.
Sim berkata berbeza dengan model prabayar masa kini, pekerja perlu membuat bayaran lebih awal sebelum mendapat perlindungan dan pindaan baharu itu menggunakan kaedah prapascabayar iaitu perlindungan diberikan walaupun bayaran belum bermula.
Beliau berkata langkah itu akan memberi manfaat besar kepada pekerja gig dengan mengambil contoh tragedi nahas pesawat di Elmina yang melibatkan seorang pekerja gig, yang tidak dilindungi kerana caruman terputus akibat sistem prabayar.
Mengakui wujud perbezaan pandangan mengenai pindaan itu, beliau menegaskan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah turun padang, mendengar pandangan semua pihak dan menambah baik draf agar menghasilkan versi terbaik yang diiktiraf pemegang taruh.
RUU itu mengandungi 112 fasal dalam 10 bahagian menerusi penekanan empat aspek utama iaitu penetapan definisi pekerja gig, penubuhan majlis tiga hala bagi menentukan pendapatan dan syarat kerja, mekanisme penyelesaian pertikaian serta perlindungan keselamatan sosial.
Selain itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perikanan (Pindaan) 2025 antaranya bertujuan memperkukuh undang-undang perikanan sedia ada bagi membanteras aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia, selain menaikkan penalti bagi kesalahan berkaitan perikanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata RUU berkenaan menetapkan peningkatan denda daripada RM5,000 kepada RM250,000 terhadap individu atau pihak yang menangkap, memiliki atau memperdagangkan spesies terancam termasuk mamalia akuatik dan penyu.
“Antara pindaan ketara ini termasuklah menaikkan kadar penalti am daripada RM20,000 kepada RM100,000, manakala kesalahan penggunaan bahan letupan, racun dan pencemar dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM250,000.
“Bagi kesalahan dilakukan di kawasan taman laut dan rizab laut pula, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM1 juta,” katanya.
Arthur berkata pindaan turut memperkemas penyelarasan agensi penguat kuasa, menambah baik Subseksyen 13(3A) yang menghalang permohonan lesen daripada pihak yang pernah disabitkan kesalahan dalam tempoh sehingga lima tahun bagi mengelakkan kesalahan yang sama berulang.
Beliau berkata RUU berkenaan turut memasukkan dua seksyen baharu iaitu Seksyen 56C yang memberi kuasa Ketua Pengarah Perikanan mengawal dan melarang aktiviti perikanan di kawasan tercemar serta Seksyen 57A yang menetapkan kesalahan khusus berkaitan pemberian kenyataan palsu dalam urusan di bawah akta.
Persidangan bersambung esok.
- BERNAMA