SHAH ALAM, 25 DIS: Rang Undang-undang (RUU) Antibuli 2025 yang baru diluluskan di Dewan Negara harus dinilai secara menyeluruh agar tidak menjadi sekadar simbolik dalam membendung budaya buli, khususnya di institusi pendidikan.
Pengarah bersama pendidikan Pocket Of Pink, Suyashaa Srii Sukendran menegaskan akta itu harus memastikan perlindungan efektif kepada mangsa buli dan tidak melindungi pelaku semata-mata atas kedudukan tertentu.
“Perlindungan sebenar wujud apabila mangsa berani bersuara dan disokong oleh akta, bukannya melindungi reputasi institusi atau pelaku yang berkepentingan,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, kelulusan akta tersebut merupakan isyarat jelas bahawa negara kini serius menangani isu buli dan tidak lagi bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penganiayaan.
Tambah beliau, kejayaan akta tersebut tidak boleh diukur sekadar melalui kelulusan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada pelaksanaan garis panduan yang jelas serta perlindungan terhadap pemberi maklumat.
“Kita perlukan mekanisme aduan yang bebas dan selamat tanpa campur tangan pihak berkepentingan supaya mangsa yakin untuk tampil membuat aduan,” tegasnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap berdiam diri segelintir ibu bapa dan guru yang menjadi penghalang kepada usaha membanteras buli secara menyeluruh.
"Budaya penafian dan takut kepada institusi dilihat apabila banyak kes buli di Malaysia tidak dilaporkan serta mangsa dipersalahkan selain guru atau pentadbir memilih untuk menyelesaikan masalah secara dalaman," katanya.

Beliau berkata, perkara itu memburukkan lagi situasi apabila mangsa tidak mendapat keadilan sewajarnya, malah pelaku terus bebas tanpa sebarang tindakan.
Dalam hal ini, katanya mangsa harus didorong untuk berani berkongsi pengalaman kepada individu dipercayai termasuk ibu bapa, guru atau rakan bagi membolehkan tindakan awal diambil.
“Pendidikan awam dan kesedaran masyarakat penting agar buli tidak lagi dianggap perkara biasa yang perlu didiamkan,” ujarnya.
Beliau berharap pelaksanaan RUU Antibuli 2025 dilakukan secara telus dan inklusif demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat.
Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, satu inisiatif perundangan komprehensif ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat dan bebas daripada budaya buli.
RUU itu antara lain memperkenalkan mekanisme khusus untuk menerima aduan, mencegah serta menguruskan insiden buli di institusi pendidikan dan institusi lain yang ditetapkan.
Melalui rang undang-undang itu, sebuah Tribunal Antibuli ditubuhkan bagi mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli sekali gus menyediakan laluan penyelesaian yang lebih cepat, adil dan berstruktur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan berkata, buat permulaan, pelaksanaan RUU tersebut akan terpakai kepada golongan berusia 18 tahun ke bawah.





