ad

Padah curi kabel TM, penghantar makanan dan mekanik didenda RM6,000

9 Sep 2025, 9:14 AM
Padah curi kabel TM, penghantar makanan dan mekanik didenda RM6,000

KANGAR, 9 SEPT: Seorang penghantar barang dan mekanik masing-masing didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM), Sabtu lepas.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor turut memerintahkan penghantar barang Mohamad Firdaus Maula Mohd Rodzhi, 32, serta mekanik Mohammad Hasrul Akmal Roslan, 28, menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka dengan seorang lagi yang masih bebas dituduh mencuri kabel berwarna hitam milik TM bertempat di Lorong Maju 3, Taman Kemajuan di sini pada 3.31 pagi, 6 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi manakala Mohamad Firdaus Maula diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Ayuni Ahmad dan Peguam YBGK Muhamad Amirul Mansor mewakili Mohammad Hasrul Akmal.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.