KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara tidak akan ke mana jika hanya bersandar kepada kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti digerakkan seiring dengan tadbir urus yang baik serta tindakan berterusan membanteras ketirisan dan rasuah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata sejarah membuktikan banyak negara berdepan cabaran apabila membiarkan budaya penyelewengan dan salah guna kuasa berakar umbi, meskipun mempunyai dana, pengaruh dan kekuatan ekonomi.
“Kita bicara tentang perlunya memacu pertumbuhan, tetapi dalam mana-mana negara, kekuatan ekonomi sahaja tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah sekiranya keterlanjuran dari segi ketirisan dan rasuah dibiarkan berterusan.
“Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan (kementerian, GLC, swasta) kerana mereka menunjukkan sikap keberanian dan ketegasan dalam membersihkan jentera sama ada di peringkat kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau swasta daripada kebiasaan melanggar peraturan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata peranan akauntan dan juruaudit dalaman amat penting serta kekal menjadi teras dalam menghadapi cabaran seperti pandemik, ketidaktentuan ekonomi atau gangguan teknologi, tanpa mengira sama ada sesebuah kerajaan itu stabil atau kaya.
“Kita telah menyaksikan sebelum ini syarikat audit terkemuka atau agensi penarafan dipersoalkan kerana kekurangan integriti, bersekongkol dengan ketirisan semata-mata didorong ketamakan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan kebertanggungjawaban mesti kekal sebagai tonggak utama bagi memastikan amalan kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah.
“Hasrat kita ialah membawa negara lebih hampir kepada status berpendapatan tinggi serta membina satu daripada ekonomi paling berdaya saing di dunia. Namun, hasrat itu tidak akan berkekalan tanpa keyakinan terhadap institusi kita. Juruaudit di sektor awam dan swasta adalah teras dalam memastikan keyakinan itu terus terpelihara,” katanya.
Anwar berkata tindakan mesti dilaksanakan dengan ketelusan, kebertanggungjawaban dan kepercayaan kerana itulah asas yang membolehkan institusi bertahan, khususnya apabila berdepan ujian.
Beliau menegaskan isu semak dan imbang bukan pilihan, sebaliknya juruaudit dan juruaudit dalaman memainkan peranan penting berdasarkan kemampuan dan integriti mereka.
“Saya sentiasa menekankan keperluan integriti kerana dengan penuh hormat kepada anda semua, kita telah melihat ketirisan berlaku dalam kalangan pemimpin politik, penjawat awam, malah juruaudit sendiri. Justeru, soal integriti dan kebertanggungjawaban mesti menjadi teras kepada kerja kita,” tambahnya.
- BERNAMA