PM hulur sumbangan kepada veteran ATM derita sakit saraf

7 Sep 2025, 6:37 AM
PM hulur sumbangan kepada veteran ATM derita sakit saraf

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Rawi Hussin yang menghidap penyakit saraf.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Mohd Rawi di kediamannya di Taman Balok Pantai, Kuantan, Pahang.

Ahmad Farhan berkata sumbangan tunai serta bakul makanan diberikan kepada Mohd Rawi sebagai tanda kasih dan penghargaan walaupun jasa dan pengorbanan beliau jauh lebih besar daripada apa sahaja yang mampu dibalas.

“Saat kami tiba di kediamannya, Pakcik Mohd Rawi Hussin tidak dapat menahan sebak. Air matanya terus mengalir sebaik kami menyapa. Beliau seorang veteran ATM yang menghidap penyakit saraf, namun kekal sabar dan tabah menghadapi kehidupan sehari-hari.

“Hari Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi juga ruang untuk kita mengenang jasa para pejuang bangsa. Pakcik Rawi adalah antara wira itu yang pernah berkorban demi tanah air, membolehkan kita hari ini hidup dalam suasana aman dan merdeka,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri.

Ahmad Farhan turut mendoakan supaya Mohd Rawi dikurniakan kesihatan, kekuatan dan ketenangan serta menjadikan pengorbanannya sebagai amal jariah yang berkekalan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.