SHAH ALAM, 5 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Maulidur Rasul bagi tahun ini.
Menerusi Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa syukur kerana seluruh rakyat diberi kesempatan meraikan peristiwa bermakna yang mengingatkan kepada Rasulullah SAW.
Baginda bertitah, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad, tetapi lebih penting untuk meneladani akhlak, peribadi dan perjuangan Rasulullah SAW.

“Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk sebagai seorang pemimpin, pendidik, suami, bapa, dan juga sahabat.
“Dalam suasana dunia yang penuh cabaran hari ini, umat Islam harus kembali kepada ajaran Rasulullah dengan menghidupkan sunnah Rasulullah dalam keluarga, masyarakat dan negara.
“Hormatilah sesama insan, jauhilah perpecahan dan semaikanlah kasih sayang serta persaudaraan. Semoga dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW, kita menjadi umat yang berakhlak mulia, beriman teguh dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan negara,” titah Baginda.
Sultan Selangor turut menitipkan pesanan agar memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad sebagai tanda cinta dan penghormatan kepada baginda.
