ad

Bariatrik bukan untuk cantik, tetapi usaha demi sihat

4 Sep 2025, 2:01 AM
Bariatrik bukan untuk cantik, tetapi usaha demi sihat
Bariatrik bukan untuk cantik, tetapi usaha demi sihat

Obesiti bukan sekadar berat di tubuh, tetapi bayang hitam yang mengekori langkah, perlahan-lahan merampas nikmat sihat dan indahnya bahagia.

Ia juga pintu senyap yang mengundang diabetes, darah tinggi, kolesterol, hati berlemak bahkan 13 jenis kanser.

Pakar Perunding Bedah Gastrousus, Obesiti dan Metabolik Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood menyifatkan masalah tersebut berada pada tahap membimbangkan.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, kadar obesiti kini mencecah 54.4 peratus, iaitu lebih separuh rakyat Malaysia.

“Jika kita merawat obesiti, secara tidak langsung kita juga merawat semua penyakit tersebut,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, pembedahan bariatrik bukanlah rawatan pertama dicadangkan tetapi langkah terakhir apabila diet dan senaman tidak lagi berkesan.

Prosedur pembedahan bariatrik. Foto Google

Siapa layak?

Namun, tidak semua pesakit sesuai menjalani prosedur ini. Ada kriteria ketat digariskan pakar perubatan agar ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Individu dengan indeks jisim badan (BMI) 32.5 ke atas yang menghidap penyakit berkaitan seperti diabetes antara yang layak menjalani pembedahan itu.

Begitu juga mereka yang memiliki BMI 37.5 ke atas, meskipun tanpa penyakit lain, kerana risiko komplikasi masih tinggi.

Dalam kes tertentu, pembedahan turut dipertimbangkan untuk pesakit diabetes jenis 2 yang sukar dikawal walaupun sudah mengambil insulin pada dos besar.

Faktor usia turut diambil kira. Lazimnya, pesakit berumur antara 18 hingga 65 tahun, tetapi ada pengecualian bergantung pada keadaan kesihatan.

Semua kriteria ini penting kerana bariatrik bukan rawatan sembarangan. Ia langkah terakhir, hanya untuk mereka yang benar-benar berada di persimpangan antara kesihatan dan risiko hidup.

Selain itu, pesakit juga wajib berusaha menurunkan berat badan melalui diet dan senaman sekurang-kurangnya enam bulan sebelum dipertimbangkan untuk pembedahan.

“Bariatrik adalah rawatan paling hujung sekali. Ia hanya untuk kelompok pesakit dengan BMI tinggi serta komplikasi perubatan serius akibat obesiti,” tegasnya.

Bagi yang tidak menepati syarat, rawatan alternatif lain masih ada. Antaranya ubat-ubatan terbaharu Mounjaro, intragastric balloon dan endoscopic sleeve gastrostomy.

Prosedur pembedahan bariatrik. Foto Google

Angka meningkat

Data Persatuan Bariatrik dan Pembedahan Metabolik Malaysia (MSBMS) menunjukkan lebih 15,000 pesakit sudah menjalani pembedahan setakat ini.

Jumlah itu terus meningkat saban tahun, dengan anggaran 1,500 hingga 2,500 prosedur dijalankan.

Perkembangan ini membuktikan bahawa bariatrik bukan pembedahan kosmetik atau “jalan pintas untuk kurus”, sebaliknya rawatan perubatan diiktiraf.

“Malah, dalam Panduan Amalan Klinikal Malaysia untuk diabetes, bariatrik disenaraikan sebagai rawatan untuk kes pesakit yang sukar dikawal dengan ubat,” katanya.

Jalan terakhir

Kisah penyanyi dan pempengaruh Farez Adnan menjadi contoh nyata bagaimana obesiti mampu mejejaskan kesihatan dan keyakinan diri.

Sejak usia 20-an, beliau bergelut dengan masalah itu akibat tekanan belajar, tabiat makan berlebihan dan kurang bersenam.

Beratnya pernah mencecah 125 kilogram (kg) dan dia disahkan menghidap pradiabetes.

“Saya sudah cuba macam-macam, diet ekstrem sampai makan telur saja, senaman dengan jurulatih malah intragastric balloon.

“Tapi semua hanya sementara. Berat turun tapi naik semula,” kongsinya.

Akhirnya, apabila kesihatan semakin merosot, Farez memilih pembedahan bariatrik sebagai jalan terakhir.

Hidup berubah

Keputusan itu mengubah hidupnya. Selain berjaya menurunkan 39kg, masalah refluks (GERD) yang lama membelenggu turut hilang.

Bacaan gula dalam darah juga kembali normal, stamina pulih dan dia tidak lagi semput ketika membuat persembahan.

Namun Farez menegaskan pembedahan hanyalah sebahagian daripada perjalanan.

“Bariatrik bukan jalan pintas. Saya tetap kena ikut diet ketat, disiplin tinggi dan bersenam. Kalau tidak, berat boleh naik semula,” katanya.

Baginya, pembedahan bariatrik adalah rawatan perubatan demi kesihatan, bukannya pembedahan kosmetik.

“Kesihatan jauh lebih mahal daripada rupa. Saya buat bariatrik bukan untuk cantik, tetapi untuk terus sihat dan cergas,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.