SHAH ALAM, 12 APRIL: Pelbagai pengisian bermanfaat diperoleh peserta menerusi program sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang diadakan di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.
Kakitangan swasta, Azzaidie Kamal Ariffin, 37, berkata program itu memberi pendedahan penting khususnya mengenai pemakanan sihat bagi mencegah penyakit buah pinggang kronik (CKD).

“Moderator dan ahli panel dalam forum ini sangat berinformasi. Saya dapat beri fokus dan seronok mendengar setiap maklumat yang mereka sampaikan.
“Bagi saya, majlis ini sangat membantu orang awam seperti saya. Pakar diet juga ada berkongsi beberapa perkara mengenai pemakanan terutamanya pada musim perayaan yang ada banyak rumah terbuka sekarang,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi penjawat awam, Norlizawati Zakaria, 55, selepas menghadiri program berkenaan, beliau berazam untuk menjaga pemakanan ahli keluarga, khusus untuk suaminya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Banyak maklumat dan penerangan yang saya dapat, daripada pakar dan pesakit sendiri. Selepas ini saya akan lebih berjaga-jaga untuk kepentingan diri dan keluarga.
“Saya akan jaga keluarga saya lebih baik. Suami saya pun ada darah tinggi dan kencing manis, mungkin akan jadi ke arah itu, kita tidak tahu,” katanya.
Pesakit CKD, Muhammad Farith Johari, 37, berharap orang ramai dapat mengambil iktibar menjaga kesihatan serta melakukan ujian saringan kesihatan setiap tahun.

Beliau yang menghidap penyakit itu sejak 10 tahun lalu turut memuji penganjur yang berjaya menyebar luas serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga organ buah pinggang.
“Nasihat saya kepada orang awam, jaga kesihatan, buat pemeriksaan sekerap mungkin mengikut nasihat doktor dan amalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.








