ad

Lelaki Paris sorok barang kemas €10 juta dalam seluar dalam

2 Sep 2025, 1:25 AM
Lelaki Paris sorok barang kemas €10 juta dalam seluar dalam

PARIS, 2 SEPT: Polis Perancis menahan seorang penumpang di sebuah stesen kereta api Paris selepas dia didapati menyembunyikan sejumlah barang kemas mewah bernilai €10 juta (US$11.7 juta) dalam seluar dalamnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pejabat Pendakwa Raya Paris pada Isnin memaklumkan siasatan berkaitan pengendalian barang curi oleh kumpulan jenayah telah dibuka terhadap lelaki itu serta seorang rakannya yang turut ditahan. Mereka juga didapati membawa sebuah alat pemotong besi dalam bagasi.

Menurut akhbar Le Parisien yang memetik pihak penyiasat, kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti pihak berkuasa sebelum ini dan ditahan ketika pemeriksaan rutin di stesen kereta api jarak jauh Gare de Lyon selepas ketibaan sebuah kereta api.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada lelaki itu menyembunyikan sehelai stoking di dalam seluar dalamnya yang berisi seutas jam tangan mewah serta beberapa barang kemas lain.

Rampasan itu termasuk seutas rantai bernilai kira-kira €5 juta (US$5.9 juta), sepasang anting-anting bernilai lebih €2 juta (US$2.3 juta), serta sebentuk cincin bernilai €1 juta (US$1.2 juta).

-- BERNAMA-dpa

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.