KUALA LUMPUR, 10 JUN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL iaitu syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan 43 utas barang kemas dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat perintah itu, selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Global Royalty terhadap Rosmah.
Hakim turut memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membayar kos sebanyak RM75,000 masing-masing kepada Global Royalty serta pihak ketiga, iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau secara palsu menyatakan bahawa 44 utas barang kemas, termasuk rantai leher berlian, gelang tangan dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat itu, telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 utas barang kemas berkenaan disimpan oleh polis, manakala baki 43 utas lagi tidak berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Global Royalty turut menegaskan bahawa Rosmah telah meletakkan tanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas tersebut kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Hakim Quay, yang menyampaikan keputusan hari ini menerusi Zoom, mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan, berserta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.
Hakim itu turut menolak tuntutan Rosmah untuk mendapatkan tanggung rugi daripada pihak ketiga.







