SHAH ALAM, 29 OGOS: Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) yang membabitkan keluasan 200 ekar di Sepang kini mencapai 50 peratus, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menurut beliau, SAP akan menjadi zon ekonomi baharu untuk memacu Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS).
“SAP merupakan langkah terbaharu dalam menaikkan naratif IDRISS. Pembangunan Taman Industri Pintar NCT (NSIP) yang dilancar pada tahun lalu kini telah memenuhi sasaran jualan hingga 40 peratus.
“Dua hari lepas saya telah bertemu dengan beberapa kedutaan dari luar negara, kita adakan perbincangan untuk melaksanakan beberapa inisiatif baharu bagi merancakkan lagi IDRISS,” katanya selepas menyampaikan Syarahan Kebangsaan di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan beliau akan memanggil mesyuarat bersama ahli jawatankuasa Pembangunan Lembah Klang Raya (SGKV), Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan IDRISS pada September depan untuk memantau perkembangan semua projek mega pembangunan negeri ini.
“Negeri mahu melihat perkembangan semua program secara serius selain halangan-halangan yang kita boleh merentasi dan tangani untuk melengkapkan pelan yang dirancang dalam SABDA, IDRISS dan SGKV,” jelasnya.
Pada 5 Jun lepas, Kerajaan Selangor membuka lembaran sejarah baharu dengan merasmikan pelancaran projek pembangunan Taman Aero seluas 600 ekar di KLIA Aeropolis, Sepang untuk merancakkan sektor aeroangkasa dan semikonduktor sekali gus memacu ekonomi negeri.
Dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, projek menerusi kerjasama Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merupakan inisiatif strategik memacu pelaburan berimpak tinggi selain menjadi hab untuk inovasi, pembangunan bakat dan perkongsian teknologi.