ad

Selangor contoh terbaik perpaduan, tolak pemikiran sempit

29 Ogos 2025, 7:42 AM
Selangor contoh terbaik perpaduan, tolak pemikiran sempit

SHAH ALAM, 29 OGOS: Selangor merupakan contoh terbaik dalam pembentukan perpaduan berikutan kehidupan rakyatnya yang hidup bersama dalam kepelbagaian dan mampu mencari titik persamaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, daerah dan latar belakang selain menerapkan konsep keterbukaan yang lebih menekankan kualiti.

“Itulah keadilan, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kalau seseorang berkualiti, kita beri ruang walau apa latar belakangnya. Itulah resipi kejayaan Selangor.

“Perpaduan inilah yang akan membentuk 100 tahun Selangor yang kuat dan sihat. Selangor mesti kekal negeri terbuka, meraikan semua. Ia akan menolak pemikiran sempit, rasis dan memecahbelahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Kebangsaan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini yang turut dihadiri pemimpin pentadbiran negeri.

Amirudin menambah, perpaduan bukan sekadar cakap politik atau sekadar bicara ketika krisis, sebaliknya ia merupakan asas penting yang harus dipertahankan rakyat.

Menerusi bacaan Rukun Negara yang kini diterapkan semula di pelbagai acara, katanya, ia mengingatkan rakyat untuk terus bersatu mendukung aspirasi negara dalam membina masyarakat yang progresif.

“Rukun Negara, sebagaimana saya sebut tadi wajar terus dijadikan paksi, bukan hanya prinsipnya, kerana prinsip itulah yang akan mendukung segala objektifnya.

“Sebaliknya, objektif itulah yang harus kita fahami, tekuni dan sedari untuk menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.