ad
AGENSI

Parlimen, Dewan Negeri Selangor kerjasama anjur Parlimen belia ASEAN

1 Mei 2025, 11:35 AM
Parlimen, Dewan Negeri Selangor kerjasama anjur Parlimen belia ASEAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Parlimen Malaysia dengan kerjasama Dewan Negeri Selangor akan menganjurkan Mesyuarat Perundingan Ke-2 Ahli Parlimen Muda Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (YPA) dari 5 hingga 8 Mei ini di Klang.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat bertema Ensuring ASEAN’s Future: Youth in Action for Sustainability and Inclusivity itu akan menghimpunkan delegasi ahli parlimen belia dari seluruh ASEAN.

“Mesyuarat ini mencerminkan usaha ASEAN yang diterajui oleh Parlimen Malaysia di peringkat legislatif untuk membangunkan rantau yang lebih terangkum, berdaya tahan, adil dan mampan melalui pemberdayaan generasi muda,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan YPA akan memfokus kepada pengukuhan penyertaan belia dalam proses penggubalan dasar berkaitan isu semasa seperti merapatkan kesenjangan ekonomi, transformasi digital dan pembangunan inklusif.

Parlimen Malaysia memaklumkan ahli parlimen belia dari ASEAN yang dijadual menyertai mesyuarat itu akan mengadakan perbincangan untuk mengemukakan cadangan yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46.

“Perkara ini selaras dengan objektif khusus mesyuarat ini yang bertujuan menjadi platform yang ampuh untuk ahli parlimen muda mengadvokasi dasar yang terangkum dan mampan.

“Mesyuarat ini turut menggariskan kepentingan pendekatan yang strategik dan inklusif terhadap pembangunan belia. Dengan pelaburan dalam kemahiran masa hadapan, sokongan institusi yang kukuh dan pembukaan peluang ekonomi, ASEAN dapat memanfaatkan sepenuhnya tenaga dan inovasi belia untuk kemakmuran bersama,” katanya.

Pembukaan mesyuarat itu, yang dijadual pada 6 Mei, akan dirasmikan Yang Dipertua Dewan Rakyat selaku Presiden AIPA 2025 Tan Sri Johari Abdul dan disertai Yang Dipertua Dewan Negeri Selangor Lau Weng San serta Setiausaha Agung AIPA Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman.

AIPA adalah badan antara Parlimen yang menghimpunkan Parlimen negara ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau melalui diplomasi perundangan dan pertukaran dasar sekali gus berperanan menyokong pelaksanaan matlamat rantau ini dalam isu seperti pembangunan mampan, keselamatan, perdagangan dan pemerkasaan belia.

Parlimen Malaysia, yang memegang jawatan sebagai Presiden AIPA 2025, memainkan peranan utama dalam menerajui agenda serantau yang inklusif, mampan dan berpaksikan rakyat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.