ad

Projek mitigasi: Pemaju salur RM3.5 juta, atasi banjir berulang di Lagoon Perdana

28 Ogos 2025, 5:05 AM
Projek mitigasi: Pemaju salur RM3.5 juta, atasi banjir berulang di Lagoon Perdana

SUBANG JAYA, 28 OGOS: Sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek mitigasi banjir di sekitar Pangsapuri Lagoon Perdana, PJS 9, Bandar Sunway yang berdepan bencana berulang sejak 2021.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata dana berkenaan disalur oleh Kiranamaz Property Sdn Bhd, pemaju projek di kawasan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

“Punca utama menyebabkan banjir berulang adalah kerana air tidak dapat mengalir keluar apabila aras Sungai Klang berada pada tahap penuh.

“Ketika hujan lebat, tempat letak kereta di tingkat bawah pangsapuri ditelenggami air sehingga ada kenderaan yang mengalami kerugian menyeluruh (total loss).

“Air hujan turut membanjiri lorong belakang di lebih 100 premis perniagaan berhampiran, menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian,” katanya selepas meninjau kawasan terbabit hari ini.

Michelle berkata projek mitigasi itu dilaksana dalam dua fasa sepanjang tiga bulan dengan kerja naik taraf bermula hari ini.

“Fasa pertama bernilai RM500,000 melibatkan naik taraf longkang di kawasan pangsapuri dengan pembinaan Cascading Drain (1.2 meter x 0.9 meter) yang disambung ke takungan sedia ada di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

“Fasa kedua pula membabitkan kos RM3 juta bagi naik taraf sambungan U-Drain sedia ada di Jalan PJS 9/1 dengan pemasangan wingwall dan flapgate. Ia selari dengan projek pembangunan pemaju di kawasan sekitar sebagai saliran air menuju ke Sungai Klang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.