Pelajar 17 tahun cedera parah motosikal bertembung MPV di Kajang

13 Mei 2026, 12:55 PM
Pelajar 17 tahun cedera parah motosikal bertembung MPV di Kajang

SHAH ALAM, 13 MEI: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera di bahagian kepala dan rahang selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah MPV di persimpangan Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi membabitkan motosikal Yamaha FZ150i dan sebuah Nissan Serena dipandu wanita tempatan berusia 38 tahun.

“Siasatan awal mendapati MPV berkenaan sedang membelok ke lorong kanan dari arah Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra menuju ke Pangsapuri Seri Melati.

“Ketika berada di tengah persimpangan, motosikal dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan sebelah kiri MPV terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan pada kepala dan rahang sebelum dibawa ke Hospital Serdang dan kemudian dipindahkan ke Hospital KPJ Ampang untuk rawatan lanjut.

Pemandu MPV bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Kajang di talian 010-2428670 bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.