ad

Menangani unsur 'reification' lewat karya sastera realisme

24 Ogos 2025, 12:30 AM
Menangani unsur 'reification' lewat karya sastera realisme

Oleh Asyraff Jamin

Lukacs (1970) dalam menggerakkan aliran sastera realisme sering menyebut reification sebagai salah satu unsur yang perlu diberikan perhatian dan diatasi melalui sesebuah karya sastera yang dapat dilihat menerusi penekanannya tentang fungsi sebuah karya sastera, iaitu “The real function of literature is to liberate man from the fetter of reification.” Namun, apakah yang dimaksudkan dengan reification?

Reification secara literalnya menurut Cambrige Dictionary didefinisikan sebagai; the act of changing something abstract into something real. Sementara hasil semakan dalam kamus-kamus bahawa Melayu pula, tidak ditemukan kata ini. Pun begitu, bagi memahami definisinya dalam bahasa yang paling hampir, Kamus Besar Bahasa Indonesia telah mendefinisikan kata ini sebagai; anggapan bahwa gejala kultural sudah berubah menjadi benda yang mengutamakan segi ekonomis daripada estetis, sehingga berfungsi untuk kepentingan manusia, dengan kata ini diterjemah sebagai reifikasi.

Dalam konteks aliran realisme, reification boleh difahami sebagai keadaan manusia yang percaya dan tunduk pada sesuatu perkara atau sistem yang diciptakan dan dikenakan ke atas diri mereka. Konsep reification dalam aliran realisme secara asasnya berakar daripada idea Karl Marx dalam Das Capital, yang secara asasnya berkitar dalam konteks ekonomi dan pasaran buruh. Dalam Das Capital, reification dijelaskan sebagai suatu proses menundukkan kelas pekerja terhadap sistem pengeluaran yang menjadi fokus kapitalisme.

Dalam konteks ini, semua perkara dalam sistem pengeluaran termasuklah manusia selaku pekerja dianggap sebagai objek pengeluaran dan hubungan manusia dengan pekerjaan bukan lagi dilihat sebagai hubungan manusia dengan benda, tetapi sebagai benda dengan benda seperti yang dijelaskan Lukacs, “The commodity structure of the product of labour stamps its imprint upon the whole consciousness of man; his qualities and abilities are no longer an organic part of his personality, they are things which he can ‘own’ or ‘dispose of’ like the various objects of the external world.”

Kewajipan pengarang

Berdasarkan kesan negatif reification terhadap kehidupan kelas pekerja dan kehidupan manusia keseluruhannya, maka Lukacs mengambil unsur ini sebagai satu daripada perkara yang perlu diatasi oleh pengarang dalam karya mereka sejajar dengan tumpuan aliran realisme yang begitu menekankan aspek pewujudan kehidupan humanis sebagai nilai estetika yang perlu dijelmakan dalam sesebuah karya.

Kehidupan humanis menurut Lukacs (1980), adalah kehidupan yang bebas daripada penindasan dan tindakan-tindakan bersifat penyahkemanusiaan yang dapat dilihat menerusi penjelasannya, “Humanism is a call to action, to fight against all forms of dehumanization.” Menghubungkan kesan reification dengan konteks penjelasan Lukacs ini, reification turut boleh dianggap sebagai suatu bentuk tindakan penyahkemanusiaan lantaran nilai kemanusiaan tidak lagi dilihat secara sewajarnya.

Seyogia, Lukacs telah meletakkan kewajipan kepada pengarang berkaitan keperluan pengatasian unsur ini dalam kehidupan masyarakat melalui karya-karya sastera yang dihasilkan seperti yang dijelaskannya, “The real function of literature is to liberate man from the fetter of reification.” Menurut Lukacs (1990) lagi, pengatasian unsur ini boleh dilakukan menerusi produk yang boleh membangkitkan kesedaran serta tindakan kolektif seperti yang disarankannya, iaitu “The proletariat can thus overcome reification only through a practical engagement with totality - by consciously transforming reality into product of the proletariat’s collective action...” dan salah satu daripada produk tersebut, ialah karya sastera.

Pengatasiannya

Reification seperti yang telah dijelaskan, adalah keadaan manusia yang percaya dan tunduk sama ada secara rela ataupun terpaksa terhadap sesuatu perkara atau sistem yang diciptakan dan dikenakan ke atas diri mereka. Sehubungan itu, tulisan ini seterusnya akan mengemukakan sampel atau contoh idea pengatasian unsur ini dalam sesebuah karya sastera.

Sampel pertama ini merupakan petikan daripada novel Pernikahan di Lubuk Hantu karya Sasterawan Negara Rahman Shaari. Dalam novel ini, beliau mengkritik suatu bentuk reification yang berlaku melibatkan pandangan sesetengah masyarakat, atau dalam konteks novel ini terdiri daripada pemimpin politik lelaki yang cenderung melecehkan golongan wanita. Kecenderungan ini dilihat sebagai suatu bentuk tindakan penyahkemanusiaan akibat daripada cara fikir masyarakat yang telah tereifikasi dengan berpandangan bahawa golongan wanita sebagai golongan yang lemah dan rendah. Rahman dalam novel ini telah mengkritik keras tindakan ini dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai “tidak berhati perut”. Kritikan yang dilontarkan ini merupakan contoh yang jelas bagi menggambarkan bagaimana pengatasian unsur reification boleh dilakukan melalui sebuah karya sastera. Kritikan beliau dapat dilihat menerusi petikan berikut:

“Mari kita tinjau isu kebocoran bangunan. Bangunan mahkamah bocor, bangunan Parlimen bocor. Isu ini serius betul. Tapi, setelah dijenakakan, bagaimana? Yang menjenakakannya pula tidak tahu adat, walaupun orang besar. Dikatakan perempuan pun bocor setiap bulan. Saya kira, orang yang bercakap tentang kebocoran perempuan, tidak berhati perut. Pertama, dia tidak serius membicarakan masalah semasa yang dihadapi negara. Yang kedua dia mempermain-mainkan wanita, yang bererti dia mempermain-mainkan ibu, kakak, dan anak perempuannya. Betul-betul tidak berhati perut.”

(Pernikahan di Lubuk Hantu, 2008, hlm. 160)

Sampel berikutnya pula adalah petikan daripada novel Kunang Pesisir Morten, tulisan Raiha Bahaudin. Raiha dalam novel ini telah mengkritik sikap masyarakat yang begitu mempercayai perkara tahyul sehingga mereka lebih memilih menyalahkan toyol dalam kes kecurian barangan berbanding menyalahkan pencuri sebenar. Kepercayaan ini dapat diterima sebagai contoh nyata bagaimana pemikiran masyarakat telahpun tereifikasi oleh kepercayaan terhadap unsur tahyul. Raiha dalam petikan tersebut telah menggunakan reaksi masyarakat, iaitu menerusi situasi ‘mengharukan’ dan perbuatan ‘menepuk kepala’ sebagai kritikan terhadap cara fikir masyarakat yang sedemikian. Kritikan ini dapat dilihat menerusi petikan berikut:

Yang lebih mengharukan dan membuat kami menepuk kepala apabila melihat reaksi orang Melayu khususnya. Mereka mula membuat cerita khurafat tentang pencuri berhati hitam yang memuja syaitan dan memerlukan ‘semangat’ benda keramat ratusan tahun mengumpul kuasanya. Tetapi cerita yang paling popular adalah kemunculan toyol. Ini semuanya bermula apabila ada yang mendakwa bertemu toyol pada malam kecurian loket pusaka kepunyaan Mak Long.

(Kunang Pesisir Morten, 2015, hlm. 124-125)

Unsur reification sama ada dalam aspek ekonomi seperti yang dikemukakan Marx mahupun dalam aspek kehidupan masyarakat yang pelbagai seperti yang dikemukakan daripada karya Rahman dan Raiha, menunjukkan bahawa unsur ini boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap kehidupan manusia. Karya Rahman misalnya, sekiranya sikap skeptikal dan merendah-rendahkan wanita tidak diatasi, tentunya akan menjadikan golongan wanita terus dipandang rendah dan begitu juga dengan karya Raiha, sekiranya kepercayaan sedemikian tidak dibendung, maka akan mewujudkan kesan yang lebih serius terutamanya dari segi jenayah kerana pelaku sebenarnya akan terus bebas dan bermaharajalela mencuri. Tuntasnya, reification merupakan satu unsur yang amat penting untuk diberi perhatian oleh setiap penulis demi menjadikan karya sastera mereka mampu memberikan manfaat terhadap kehidupan masyarakat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.