ad

PM: Pengurusan air mampan bukti Selangor jaga rakyat, tarik keyakinan pelabur

20 Ogos 2025, 10:57 AM
PM: Pengurusan air mampan bukti Selangor jaga rakyat, tarik keyakinan pelabur
PM: Pengurusan air mampan bukti Selangor jaga rakyat, tarik keyakinan pelabur
PM: Pengurusan air mampan bukti Selangor jaga rakyat, tarik keyakinan pelabur

HULU LANGAT, 20 OGOS: Keupayaan Selangor menyalurkan bekalan air bersih percuma kepada golongan berpendapatan rendah selain mengekalkan kadar munasabah untuk rakyat keseluruhannya membuktikan komitmen negeri menjaga kebajikan dan daya saing ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan Selangor wajar dijadikan contoh untuk dikembangkan bagi memastikan pengurusan air lebih mampan, seimbang dan tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Kompleks LRA Langat 2, Hulu Langat pada 20 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Bagi kita soal air dan tenaga ini bukan sahaja dapat disediakan tapi nak dikawal supaya dengan kadar harga yang munasabah dan tidak membebankan rakyat.

Selangor tertulis catat rekod Negeri pertama yang telah menjamin kemudahan bekalan air bersih kepada rakyat miskin secara percuma dan pada kadar berpatutan. Jadi saya ucap tahniah. Tumpuan kita, ini dapat kita kembangkan,” katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini hari ini.

Beliau berkata keupayaan negara menyediakan bekalan air dan tenaga yang moden serta mampan turut menjadi faktor tarikan pelabur asing ke Malaysia.

“Kita tak dapat pertahankan kredibiliti sebagai negara yang aman dan cekap kalau hal-hal asas seperti air dan tenaga tidak dapat diselesaikan.

“Antara sebab Malaysia menjadi tarikan pusat data, teknologi baharu, semi konduktor ialah kemudahan air dan tenaga. Jadi air dan tenaga terlalu strategik, kalau mahu melabur perkara wajib ditanya ialah air dan tenaga,” jelasnya.

Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim (kanan) menandatangan plak perasmian sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Langat (LRA) 2 di Kompleks LRA Langat 2, Hulu Langat pada 20 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kementerian melalui Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) giat mengatasi cabaran sektor berkenaan termasuk isu air tidak terhasil (NRW), infrastruktur usang serta kadar rizab margin rendah di beberapa negeri.

“Kerjasama dengan Kerajaan Negeri perlu diteruskan dalam perancangan dan pembangunan infrastruktur sumber air baharu bagi memastikan keperluan pengguna domestik dan industri kritikal dapat dipenuhi, seperti dilaksanakan bersama Selangor dalam Rancangan Malaysia terdahulu dan akan datang,” katanya.

Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof dan EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim melihat pelan lokasi pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Kompleks LRA 2, Hulu Langat pada 20 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Terdahulu, Anwar menyempurnakan perasmian LRA Langat 2 bernilai RM4.2 bilion yang mempunyai kapasiti 1,130 juta liter sehari (JLH).

Projek itu melibatkan penyaluran air mentah dari Empangan Kelau, Pahang melalui muka sauk Sungai Semantan dan terowong sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.

Loji tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1.87 juta pengguna meliputi 350,000 akaun di sekitar Lembah Klang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.