MBSA raih pengiktirafan berganda dalam Anugerah Industri Pelancongan 2025

20 Ogos 2025, 7:57 AM
MBSA raih pengiktirafan berganda dalam Anugerah Industri Pelancongan 2025
MBSA raih pengiktirafan berganda dalam Anugerah Industri Pelancongan 2025

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus membuktikan komitmen dalam memacu sektor pelancongan apabila meraih dua anugerah utama pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 9 Ogos lalu.

MBSA diumumkan sebagai pemenang kategori Best Community Based Tourist Initiative dan Best Clean & Friendly City, sekali gus mengangkat nama Shah Alam sebagai destinasi pelancongan mesra komuniti serta bersih dan kondusif untuk dikunjungi.

“Kejayaan ini adalah hasil komitmen berterusan MBSA memperkasakan industri serta promosi pelancongan di kawasan pentadbiran Shah Alam,” menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu.

Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim kepada Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Seiring kejayaan itu, MBSA bertekad memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperhebat promosi destinasi menarik sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

“Shah Alam mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti Taman Tasik Shah Alam, Zip Line Adventure Shah Alam, Taman Botani Negara, i-City, Taman Tema Wetworld dan banyak lagi yang mampu menarik kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri mensasarkan lapan juta pelancong melawat Selangor sempena TMS2025 dengan potensi transaksi mencecah RM11.7 bilion.