SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan memberi jaminan tiada sebarang kompromi terhadap semua pesalah undang-undang termasuk membabitkan tertuduh kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Akta Kanak-Kanak 2001 telah dirangka khusus bagi mengendalikan kes melibatkan pesalah kanak-kanak.
"Perkara ini sudah diterangkan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan beliau tidak memberi maksud, kononnya kanak-kanak tidak boleh didakwa, sebaliknya menyatakan apa prosedur di mahkamah apabila kanak-kanak itu didakwa.
"Kita juga akan mengeluarkan FAQ (frequently asked questions) mengenai Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak supaya rakyat tidak susah hati dan saya memberi jaminan salah tetap salah. Jika dia (pesalah) kanak-kanak atau dewasa, undang-undang yang ada akan tetap terpakai.
"Namun dalam proses untuk dia ke mahkamah, laluan ke mahkamah, hakim, pendakwa raya, perlindungan kanak-kanak, peguam bela, peguam cara, semuanya kita akan pakai Akta Kanak-Kanak," katanya, lapor Berita Harian.
Azalina berkata demikian ketika ditemui media di Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang diadakan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Ahli Parlimen Pengerang itu menambah, kanak-kanak juga masih boleh dituduh mengikut peruntukan Kanun Keseksaan sekiranya melakukan kesalahan undang-undang.
Bagaimanapun, jelasnya, pesalah kanak-kanak tidak melalui prosedur kehakiman biasa seperti pesalah dewasa.
“Jika dia (pesalah) kanak-kanak, dia tidak boleh ke mahkamah biasa, perlu ke mahkamah khas dan perbicaraan tertutup dan penerangan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak menegaskan, prosedur apabila kanak-kanak itu dituduh dan bagaimana proses di mahkamah berlaku.
"Hukuman pula ditetapkan oleh hakim dan ia juga mempunyai prosedur termasuklah tertakluk kepada usia," katanya.