ad

Tiada peluasan operasi Lapangan Terbang Subang, keselamatan penduduk diutamakan

19 Ogos 2025, 12:00 PM
Tiada peluasan operasi Lapangan Terbang Subang, keselamatan penduduk diutamakan
Tiada peluasan operasi Lapangan Terbang Subang, keselamatan penduduk diutamakan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan sebarang peluasan operasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar sentiasa menjadi keutamaan.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata perkara itu selari dengan pengumuman Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan pengembangan operasi seharusnya dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media ketika ditemubual di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 19 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah umumkan dalam RMK13 bahawa sebarang peluasan operasi Lapangan Terbang Subang harus dipindahkan ke KLIA.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita memang tidak memberi kelulusan tambahan di lapangan terbang berkenaan. Penduduk tidak perlu khuatir,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah kepada Media Selangor.

Mengulas rungutan orang ramai berhubung operasi selepas waktu kerja serta helikopter yang terbang rendah, Dr Fahmi berkata pihaknya bersama Ahli Parlimen Subang akan membawa perkara itu kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, operator Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) juga tidak dibenarkan beroperasi melebihi waktu biasa, manakala aduan gangguan bunyi perlu terus dilaporkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan segera.

“Kita harap pihak MBSA dapat kuat kuasa larangan operasi selepas waktu biasa iaitu antara jam 9 pagi hingga 6 petang.

“CAAM pula mempunyai kuasa dan mekanisme untuk menyemak sama ada helikopter terbang pada altitud yang tepat,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan penduduk sekitar Subang mengadu mengenai kesesakan lalu lintas, operasi penerbangan di luar waktu kerja serta gangguan helikopter terbang rendah yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman kawasan berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.