SHAH ALAM, 18 OGOS: Hampir 200 peserta termasuk dari Brunei dan Singapura menyertai PJ Bergasing 2025 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berlangsung selama tiga hari sehingga semalam.
Berlangsung di Kompleks Kolam Renang Kelana Jaya, acara yang memasuki edisi kedua itu mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Gasing Warisan, Terbuka dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan pasukan antarabangsa berjaya mengangkat acara tersebut ke peringkat serantau sekali gus menjadi medium memartabatkan permainan tradisional rakyat.
“PJ Bergasing antara 24 program utama dalam Kalendar Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 MBPJ yang dianjurkan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara serta menyatupadukan masyarakat,” jelas kenyataan itu.
Dengan kerjasama Persatuan Gasing Malaysia (PEGAMA), acara turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan mewarna, Pasar Saloma yang menawarkan juadah tradisional seperti kuih dangai, punten dan ubi rebus.
Pengunjung juga disajikan dengan persembahan artis antaranya Cherpen, Betta Band, Dedaun Band, Samudera dan Azri Kilauan Emas.
MBPJ yakin penganjuran seumpama ini mampu menarik minat generasi muda terhadap permainan tradisional, selain memastikan seni dan warisan negara terus segar sepanjang zaman.




