ad

Isu anjing liar: MBPJ, NGO cari jalan penyelesaian lebih berkesan

13 Sep 2025, 5:00 AM
Isu anjing liar: MBPJ, NGO cari jalan penyelesaian lebih berkesan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kini mengambil pendekatan lebih inklusif dengan bekerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik menangani isu anjing liar.

Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beberapa cabaran dikenal pasti dalam pelaksanaan operasi termasuk bantahan pencinta haiwan terhadap kaedah penangkapan sedia ada, kekurangan fasiliti, serta keberkesanan kaedah yang masih diperdebatkan.

“Halangan utama datang daripada pencinta haiwan atau NGO yang menentang penangkapan anjing. Kaedah menggunakan penjerut, perangkap dan gelung jaring juga sentiasa ditentang serta kurang berkesan, menyebabkan bilangan tangkapan rendah.

Oleh itu, penggunaan ubat pelali dalam SOP penangkapan wajar dikaji dan diperluaskan,” jelas kenyataan MBPJ.

Majlis turut menambah, kaedah Trap-Neuter-Release-Manage (TNRM) yang dipohon NGO masih tidak berkesan dalam menangani aduan kerana anjing yang telah dimandulkan dan dilepaskan tetap boleh menyebabkan kacau ganggu termasuk serangan dan gigitan.

“Selain itu, kekurangan tempat simpanan untuk menempatkan anjing-anjing yang ditangkap terus menjadi cabaran kepada pihak majlis,” katanya lagi.

Setakat ini, MBPJ melaksanakan penangkapan menggunakan gelung, jaring dan perangkap dengan kekerapan operasi yang dipertingkatkan. Majlis juga bekerjasama dengan NGO melaksanakan TNRM sebagai projek perintis di kawasan terpilih bagi menilai keberkesanannya.

“Dalam menangani isu anjing liar, MBPJ membelanjakan hampir RM100,000 setahun hanya bagi perbelanjaan penempatan haiwan. Kos ini tidak termasuk perbelanjaan pengurusan lain,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera akibat diserang anjing di Batu 9, Cheras. Mangsa cedera selepas diserang ketika bermain basikal berhampiran rumahnya.

Kejadian yang tular di media sosial itu memaparkan kanak-kanak berkenaan bergelut beberapa ketika dengan anjing terbabit sebelum berjaya menyelamatkan diri. Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.

Pada 5 September Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesahkan, anjing tersebut disahkan anjing liar.