ad

19,812 warga emas terlibat kemalangan, hampir 7,000 maut

15 Ogos 2025, 7:40 AM
19,812 warga emas terlibat kemalangan, hampir 7,000 maut

SHAH ALAM, 15 OGOS: Hampir 7,000 kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan pemandu berusia 61 tahun ke atas direkodkan dari 2019 hingga 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam tempoh enam tahun itu, 19,812 warga emas dilaporkan terlibat kemalangan.

Beliau berkata, data itu menunjukkan 6,733 pemandu maut manakala 2,132 parah dan selebihnya 10,947 lagi mengalami cedera ringan.

“Daripada jumlah terbabit, 13,597 pengguna jalan raya adalah mereka berusia 60 hingga 70 tahun terlibat dengan nahas manakala 6,215 lagi merupakan 71 tahun ke atas,” katanya.

Mohd Yusri menjelaskan, walaupun usia bukan faktor kemalangan namun aspek itu wajar diberi penekanan bagi mengatasi isu tersebut pada masa hadapan.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak menghalang warga emas untuk terus memandu sebaliknya mahu ada mekanisme dalam menentukan tahap kesihatan seseorang pengguna jalan raya sekali gus menjamin keselamatan semua pihak.

“Kita faham, untuk menghalang golongan ini daripada memandu bukan perkara mudah kerana budaya di Malaysia ini berbeza. Ada di antara mereka menggunakan kenderaan untuk ke surau, mengambil cucu balik sekolah dan sebagainya.

“Tetapi pada masa sama, tugas JSPT juga adalah memastikan jalan raya sentiasa selamat kepada semua pengguna supaya risiko kemalangan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.