ad

SPRM rampas aset RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun

15 Ogos 2025, 4:26 AM
SPRM rampas aset RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun
SPRM rampas aset RM31.4 bilion dalam tempoh lima tahun

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas aset bernilai RM31.4 bilion hasil aktiviti rasuah sejak lima tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu juga berjaya melaksanakan tindakan pelucuthakan terhadap aset bernilai hampir RM28 bilion dalam tempoh sama.

Beliau berkata jumlah berkenaan termasuk sitaan aset bernilai kira-kira RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan menerusi Ops Metal.

“Turut disita aset hartanah bernilai RM620 juta dalam siasatan projek pembangunan rangkaian fiber dan aset wang tunai, kereta mewah serta akaun bank bernilai RM36 juta dalam kes penyelewengan dana pembinaan lebuh raya.

“SPRM juga menyita aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang ‘Tan Sri’ yang melibatkan 217 jam tangan mewah dan 27 tas tangan berjenama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berucap dalam program Wacana Integriti dan majlis peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor di Hulu Langat pada 28 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, beliau berkata Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hingga kini sedang menguruskan 41 harta tidak alih seperti tanah dan bangunan yang masih menunggu pelupusan.

Azam berkata operasi dijalankan itu adalah bukti jelas SPRM proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah dan penggubahan wang haram.

"Angka ini bukan sekadar statistik malah mencerminkan komitmen SPRM dalam memulihkan aset hasil jenayah kepada negara,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga bukan sahaja mengembalikan hasil kepada negara tetapi juga membina keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.