SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor bersiap sedia menggerakkan jentera pilihan raya negeri untuk memastikan kemenangan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun ini.
Ketua penerangannya Saifuddin Shafi Muhammad berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MPN negeri yang memberi tumpuan kepada strategi pengukuhan sokongan di peringkat akar umbi serta kesiapsiagaan jentera di lapangan.
“MPN turut memuktamadkan struktur organisasi baharu yang dirangka khusus untuk mendepani cabaran politik semasa, sekali gus memastikan perkhidmatan terbaik kepada anggota parti dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan solidariti dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, serta Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih pasukan latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.
Menurut Saifuddin, tragedi yang menimpa kedua-dua individu itu menjadi peringatan bersama mengenai pentingnya memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan generasi muda sentiasa menjadi agenda utama negara.